Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Universiti Teknologi Brunei (UTB) tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022 yang sedang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
UTB menyertai dengan mengambil bahagian pada minggu teknologi digital, tenaga, perubahan iklim dan ekonomi.
Semasa Minggu Teknologi Digital yang bermula hari ini hingga 11 Jun, UTB terlibat dalam pameran yang diadakan di Dewan Plenari, ICC dengan mengetengahkan mengenai Pertandingan CIPTA 2023, kelayakan-kelayakan mikro pasca siswazah UTB, program-program digital yang ditawarkan serta peluang pekerjaan yang berkaitan dengan digital dan teknologi.
Selain itu, UTB juga menganjurkan Robotic and Coding Conquest 2022 dengan Amazon Web Services (AWS).
Semasa Minggu Tenaga pula, UTB akan mengambil bahagian dalam Pameran Laluan Kerjaya MYCE 2022 yang akan berlangsung pada 15 hingga 18 Jun dan dibukakan kepada orang ramai.
Manakala itu, semasa Minggu Perubahan Iklim, UTB akan mempamerkan projek yang berkaitan dengan tema minggu tersebut dari 22 hingga 26 Jun 2022 di ruang legar, ICC.
UTB juga akan mengambil bahagian dan menghoskan Persidangan Antarabangsa Borneo mengenai Agroteknologi (BICAT) 2022 semasa Minggu Ekonomi nanti yang akan berlangsung pada 2 Julai, di Dewan Persidangan Utama, ICC.
BICAT 2022 mewujudkan forum untuk pertukaran penemuan teknologi pertanian, di mana pakar-pakar akan bertukar dan berkongsi pengalaman mereka dalam perkembangan
teknologi pertanian terkini dan masa hadapan.