UTB terima 35 pelajar baharu

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Universiti Teknologi Brunei (UTB) menerima 35 pelajar baharu bagi pengambilan Januari tahun ini pada majlis orientasi yang diadakan di universiti berkenaan, hari ini.

Para pelajar berkenaan terdiri daripada pelajar-pelajar yang mengikuti Program Sarjana Sains Secara Penyelidikan dan Program Ijazah Kedoktoran (PhD).

Hadir pada majlis tersebut ialah Pemangku Naib Canselor UTB, Haji Ady Syarmin bin Haji Mohd Taib, pegawai-pegawai utama UTB, pensyarah dan pelajar-pelajar baharu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Penolong Naib Canselor (Penyelidikan), Profesor Dr Zuruzi bin Abu Samah yang antara lain memberikan ucapan tahniah kepada semua pelajar baharu pasca siswazah yang akan memulakan perjalanan akademik mereka.

“UTB akan memberi sokongan penuh untuk perjalanan awda ke arah kejayaan. Pensyarah dan penyelia UTB akan membantu dalam penyelidikan pelajar. Mereka akan membimbing dan memberi nasihat kepada para pelajar untuk terus meraih kejayaan semasa pengajian mereka,” tambahnya.

Sementara itu, majlis kemudiannya diteruskan dengan taklimat yang disampaikan oleh Dekan Pejabat Pasca Siswazah dan Penyelidikan, Profesor Dr Ardeshir Bahreininejad, di mana beliau dalam taklimatnya antara lain memperkenalkan Pejabat Pasca Siswazah dan Penyelidikan serta menjelaskan fungsinya.

Majlis disusuli dengan taklimat dan ceramah dari Pejabat Pendaftar dan Setiausaha, Pejabat Bendahari, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (ICT) UTB.

Pada masa ini, UTB menawarkan tujuh program Sarjana secara Kerja Kursus, Sarjana secara Penyelidikan, dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Kejuruteraan, Perniagaan, dan Pengkomputeran dan Informatik.

Sesi taklimat yang diadakan semasa majlis orientasi tersebut.
Para mahasiswa dan mahasiswi pasca siswazah dan kakitangan UTB bergambar ramai pada majlis orientasi yang diadakan di Universiti Teknologi Brunei.