UTB terima rating tertinggi QS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Universiti Teknologi Brunei (UTB) mencapai satu lagi mercu tanda apabila dianugerahkan rating 5-Plus Stars bagi kecemerlangan oleh Quacquarelli Symonds (QS), iaitu sebuah peneraju dunia dalam analisis pendidikan tinggi yang berpangkalan di United Kingdom.

Pencapaian itu meletakkan UTB di kalangan 15 buah universiti di dunia dan satu-satunya universiti di Asia Tenggara untuk menerima Anugerah QS 5-Plus Stars berprestij, jelas UTB dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

Anugerah 5-Plus Stars mengiktiraf universiti sebagai sebuah destinasi elit yang terbaik untuk pelajar dan fakulti seluruh dunia serta juga mengakui kecemerlangan penyelidikan UTB, kualiti dalam pengajaran, pengalaman globalisasi untuk pelajar dan kapasiti bagi memupuk bakat pelajar.

Di kalangan universiti terbaik global yang dianugerahkan rating QS 5-Plus Stars bagi kecemerlangan termasuk Loughborough University, University of Glasgow dan Newcastle University di United Kingdom, North Carolina State University di Amerika Syarikat, Western University di Kanada, Massey University dan Victoria University of Wellington di New Zealand, University of Otago, University of South Australia, University of Technology Sydney di Australia, City University of Hong Kong serta lain-lain.

Ini menunjukkan bahawa UTB mampu berada setara dengan universiti-universiti berprestij lain di seluruh dunia dan merupakan petunjuk jelas bagi keupayaan UTB untuk memanfaatkan kekuatannya sebagai sebuah institusi global berkaliber.

Pelajar-pelajar UTB ketika kerja lapangan. – Gambar serahan UTB

UTB sebagai sebuah universiti yang berusia 13 tahun telah menunjukkan pertumbuhan yang menggalakkan daripada audit QS Stars pertamanya pada 2017 dengan rating keseluruhan QS 4 Stars.

Sejak itu, UTB telah memperbaiki kedudukannya daripada rating keseluruhan QS 5 Stars pada 2018 kepada rating QS 5-Plus Stars pada 2021.

Pada masa ini, UTB berada di kedudukan 344 di seluruh dunia dan di kedudukan 40 bagi Universiti Muda Global di bawah usia 50 tahun oleh QS.

Dalam edisi QS Asia University Rangkings 2021, UTB di tempatkan pada kedudukan 128 di kalangan 634 buah institusi keseluruhannya di seluruh benua.

Menurut laporan oleh QS, keputusan terbaharu UTB iaitu rating paling tinggi telah diumumkan selepas penilaian dan audit komprehensif yang dilaksanakan daripada 15 April hingga 26 Ogos 2021 merentas pelbagai bidang termasuk pengajaran, kebolehkerjaan, penyelidikan, pengantarabangsaan, kemudahan, tanggungjawab sosial, keterangkuman dan kategori kekuatan program: Kejuruteraan-Sivil dan Struktur.

Rating QS Stars dinilai setiap tiga tahun sekali. Untuk dinilai 5-Plus Stars, sebuah institusi perlu mencapai maksimum lima bintang di seluruh kategori.

Sebagai sebuah universiti yang muda dan bertenaga, UTB menunjukkan prestasi yang sangat baik di mana ia mendapat markah penuh dalam empat daripada lapan kategori yang dinilai iaitu pengajaran, kebolehkerjaan, tanggungjawab sosial dan keterangkuman.

Amat teruja dengan pencapaian menakjubkan UTB, Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman mengongsi kegembiraannya dengan menyembahkan kesyukuran dan penghargaan yang mendalam ke atas kepimpinan yang memberi inspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas sokongan berterusan kerajaan Baginda, kerja keras daripada semua di universiti, kualiti pelajar-pelajarnya serta komitmen rakan-rakan kongsi strategiknya.

“Pencapaian hebat ini menyampaikan satu mercu tanda bersejarah untuk UTB dengan menjadi satu-satunya universiti di dalam negara ini dan Asia Tenggara untuk dinilai 5-Plus Stars.

“Ini adalah satu bukti, antara lain, kecemerlangan, kelincahan dan kedayatahanan UTB walaupun pada masa-masa perubahan luar biasa dan ketidakpastian yang membantu me-lonjakkan UTB untuk mencapai standard global ini.”

Profesor Dr Hajah Zohrah berharap rating QS Stars boleh menjadi faktor penentu bagi bakal-bakal pelajar, yang akan dapat mempengaruhi keputusan mereka untuk menyertai universiti itu.

Ini, jelasnya, adalah selaras dengan titah Baginda Sultan semasa Konvokesyen UTB 2017, di mana Baginda menyeru bagi UTB untuk menggandakan usaha pengantarabangsaannya bagi menarik lebih ramai pelajar-pelajar luar negara. Baginda Sultan juga mengalu-alukan usaha UTB untuk menanda aras melalui rating stars dan ranking di kalangan universiti-universiti di Asia.