UTB terima sijil ISO 9001:2015

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah berjaya memperoleh Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001: 2015 setelah melengkapkan audit perakuan mandatori dua peringkat oleh Bureau Veritas pada Julai 2019.

Ini menjadikan UTB universiti pertama di negara ini menerima pensijilan tersebut, menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB.

Kenyataan menjelaskan, Pertubuhan Antarabangsa untuk Standardisasi (ISO) 9001: 2015 adalah piawaian yang paling dikemas kini dan memberi tumpuan kepada sistem pengurusan kualiti dan prestasi.

Ia membantu dalam membangunkan sistem pengurusan yang menyelaraskan sistem pengurusan kualiti dan prestasi dengan memberi tumpuan kepada pemikiran berasaskan risiko dan akauntabiliti dalam semua proses organisasi, yang mana ia menghasilkan peningkatan secara berterusan dalam organisasi dengan peningkatan komunikasi dan kecekapan.

Di UTB, skop pensijilan merangkumi pengurusan terasnya termasuk penyediaan program pendidikan tinggi dan pendidikan berterusan lanjutan dalam bidang Kejuruteraan, Perniagaan, Pengkomputeran dan Informatik, Sains Gunaan dan Matematik dan Reka Bentuk; penyediaan program penyelidikan dalam bidang Pengangkutan, Kejuruteraan Inovatif dan Sains dan Teknologi Agri-Makanan; dan penyediaan perkhidmatan ujian material pembinaan.

Untuk memenuhi keperluan standard, jelas kenyataan, UTB sentiasa mengkaji dan memperbaiki sistem dan prosesnya, mendokumenkan prosedur operasi utama, memastikan kepatuhan terhadap keperluan statutori dan peraturan, dan menggunakan sistem pengurusan kualiti untuk meningkatkan kepuasan pelanggan dalam bidang utama ini.

Pensijilan berkenaan merupakan usaha strategik oleh universiti untuk memastikan sistem pengurusannya cukup kuat dan mampu menyokong universiti dalam menyampaikan misinya untuk memupuk bakat-bakat yang bertanggungjawab social yang berakar umbi dalam nilai-nilai MIB dan komited untuk membina sebuah masyarakat global dan keusahawanan dalam mengejar inovasi, keupayaan berkaitan industri, ke arah pemenuhan Wawasan Brunei 2035.

Pensijilan ISO 9001: 2015 juga menunjukkan komitmen UTB untuk menyediakan perkhidmatan bertahap tinggi yang mempunyai nilai tambah untuk memenuhi keperluan pihak yang berkepentingannya secara dalaman dan luaran.