UTB terima sumbangan $300,000 Daelim-Swee JV

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Fizah HAB

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Mac – Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah menerima sumbangan korporat berjumlah $300,000 daripada Daelim-Swee JV untuk meningkatkan makmal dan sumber fakultinya.

Penyampaian sumbangan berkenaan telah berlangsung di The Pearl, UTB, di sini, petang tadi, di mana Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman menerima cek yang diserahkan oleh Pengurus Projek di Daelim Industrial Co. Ltd, Chua Min Chu.

Yang Berhormat Pehin kemudiannya menyerahkan cek tersebut kepada Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi), Dr. Haji Azman bin Ahmad dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan dan UTB.

Fakulti Kejuruteraan merupakan fakulti terbesar di UTB dengan jumlah pelajarnya kira-kira 840 orang dan 77 orang kakitangan akademik.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyerahkan replika cek sebagai simbolik sumbangan Daelim-Swee JV kepada Profesor Dr. Hajah Zohrah.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyerahkan replika cek sebagai simbolik sumbangan Daelim-Swee JV kepada Profesor Dr. Hajah Zohrah.

Antara yang ditawarkan di fakulti tersebut adalah program Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD dalam disiplin kejuruteraan elektrik dan elektronik, mekanikal, sivil dan petroleum & kimia. Ia telah menjadi pembekal utama kejuruteraan pendidikan tinggi di negara ini sejak tahun 1986.

Pembiayaan berkenaan juga akan membantu usaha fakulti dalam mendapatkan akreditasi untuk semua program ijazahnya daripada badan-badan profesional yang membawa kepada pengiktirafan antarabangsa bagi program-program berkenaan.

Daelim-Swee JV merupakan syarikat usaha sama antara syarikat pembinaan gergasi Korea, Daelim Industrial Co. Ltd dan syarikat tempatan, Swee Sdn Bhd. Syarikat usaha sama tersebut telah dianugerahkan dua kontrak daripada enam pakej projek Jambatan Temburong iaitu pakej CC2 (jejambat marin) dan pakej CC3 (jambatan navigasi).

Syarikat usaha sama itu juga bertanggungjawab bagi reka bentuk dan pembinaan Jambatan Sungai Kebun yang merupakan jambatan kabel penahan konkrit jalan duaan (empat lorong) sepanjang 622 meter dengan satu menara yang menghubungkan ibu negara dengan Kampung Sungai Kebun.