Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan UTB
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Dalam usaha mempromosikan kefahaman dan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama dua hala dengan Negara Brunei Darussalam, Kedutaan Republik Sosialis Vietnam di Negara Brunei Darussalam telah menyumbangkan kira-kira 50 buah buku untuk Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Majlis penyerahan sumbangan berlangsung di Kompleks Perpustakaan, Fasa 3, UTB, kelmarin, yang dihadiri oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Van Khoa dan Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Turut hadir ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Demokratik Rakyat Laos, Puan Yang Terutama Sengdayanh Vongsay; Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona, pegawai-pegawai utama UTB, kakitangan dan pelajar UTB.
Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada Kedutaan Republik Sosialis Vietnam atas sumbangan buku-buku berkenaan yang meliputi pelbagai topik mengenai kebudayaan, sejarah, kesenian, kesusasteraan, pendidikan dan bahasa Vietnam yang akan disimpan di sudut khusus di Perpustakaan UTB.
Beliau percaya Sudut Vietnam dan pertukaran kebudayaan yang diketengahkan akan menyumbang kepada usaha mengembangkan lagi pelajar UTB menjadi warga global yang menghargai budaya, pandangan serta sensitif kepada isu-isu yang menjejaskan komuniti global.
Pada masa yang sama, beliau berkata seleksi buku, dialog dan persembahan kebudayaan akan membantu untuk mempromosikan kefahaman antara dua budaya serta memajukan hubungan dua hala antara kedua-dua buah negara ke peringkat yang lebih tinggi.
Beliau turut berkongsi mengenai Perpustakaan UTB baru-baru ini telah melanggan kepada Perlego and Ebscohost iaitu platform e-buku yang menyokong lanjut keperluan pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan komuniti UTB.
Perlego, jelasnya, memberikan akses tidak terbatas kepada lebih 900,000 buah buku teks dengan lebih 950 subjek dan sub topik termasuk lebih 1,000 tajuk yang berkaitan dengan Vietnam.
Di samping itu, perpustakaan universiti berkenaan juga mempunyai dua buah pangkalan data dalam talian iaitu Scopus dan Science Direct, yang boleh diakses bukan sahaja dalam ruang universiti tetapi juga boleh diakses di luar melalui fungsi akses juah yang tersedia.
Semua itu, tambahnya, membolehkan pelajar dan kakitangan universiti berkenaan untuk mendapatkan terbitan penyelidikan berkualiti tinggi terkini.
Majlis diteruskan dengan pelancaran Sudut Vietnam di Perpustakaan UTB dan diikuti dengan penyampaian sum- bangan oleh TYT Tran Van Khoa kepada Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah.
Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan oleh Kedutaan Vietnam yang berlangsung di Dewan Kuliah 2, Kompleks Perpustakaan UTB.
Kemudian, majlis menyaksikan sesi dialog kebudayaan bertajuk Application of Technology and Communication in the Field of Cultural Industry, Creative Industry and Production of National Cultural Products oleh Pakar Antropologi Kebudayaan, Vietnam National University (VNU), Profesor Madya Dr Dinh Hong Hai dengan sesi dikendalikan oleh Penolong Profesor Pusat bagi Komunikasi, Pembelajaran dan Pengajaran (CCTL), UTB, Dr Malai Zeiti Abdul Hamid.