UTB terus semarak Ramadan

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Komited untuk menaburkan bakti kembali kepada masyarakat, Universiti Teknologi Brunei (UTB) terus menyemarakkan Ramadan dengan menganjurkan majlis sungkai dan pengagihan acara berbuka puasa menerusi Program Sungkai iaitu salah satu aktiviti amal yang diadakan di bawah UTB Ramadan Drive 4.0.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UTB, di sini, Program Sungkai merupakan sebuah projek yang diterajui oleh pelajar UTB di mana para sukarelawan adalah terdiri daripada pelajar-pelajar dari Kelab Sukarelawan dan Perkhidmatan Masyarakat, Jawatankuasa Eksekutif Projek dan Perkhidmatan Masyarakat, Jawatankuasa Eksekutif Hal Ehwal Rohani dan Ugama, Campus L.E.A.D serta kumpulan pelajar-pelajar pascasiswazah.

Kenyataan menyatakan bahawa sebanyak 90 pek makanan telah dihantar untuk iftar kepada masjid-masjid terpilih di Daerah Brunei dan Muara dan diagih-agihkan kepada para jemaah selama seminggu bermula 28 April.

Manakala itu, majlis sungkai telah diadakan di pusat-pusat keperluan khas termasuk Pusat Bahagia dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam di Daerah Brunei dan Muara dan Kuala Belait.

UTB Ramadan Drive 4.0 pada 2021 telah berjaya mengutip lebih $8,000 dan pelbagai barangan yang diterima daripada kakitangan dan pelajar universiti berkenaan yang dikutip sejak 7 April lalu.

Sukarelawan UTB mengagihkan pek makanan iftar ke masjid-masjid.
Antara yang hadir pada majlis sungkai yang dianjurkan oleh UTB di bawah kempen Ramadan Drive 4.0.