SERI ISKANDAR, Perak, Malaysia –Sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, menghasilkan racun berasaskan organik bagi mengatasi masalah serangga sekali gus meningkatkan hasil padi.
Racun organik itu dihasilkan oleh lima pensyarah serta kira-kira 15 penuntut UTP sejak 2015 di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) UTP.
Ketua projek itu, Prof Madya Dr Suzana Yusup berkata projek kerjasama antara UTP dengan Jabatan Pertanian dan Bio-X Techno Sdn Bhd itu berjaya membuktikan bahawa racun organik dapat mengatasi masalah serangga seperti bena perang, belalang, kesang dan sebagainya.
“Pesawah di sini (Daerah Perak Tengah) mengalami kerugian yang tinggi sehingga menyebabkan sumber pendapatan mereka terganggu.
“Oleh itu, pihak UTP bersama jabatan kerajaan serta pihak swasta mengambil inisiatif untuk atasi masalah ini,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis taklimat mengenai projek itu di Pertubuhan Peladang Kawasan Bota/Lambor, Titi Gantong dekat Bota Kiri di sini baru-baru ini.
Suzana yang juga Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Kimia UTP berkata, racun organik tidak menjejaskan kesihatan pengguna dan tidak merosakkan alam sekitar kerana ia diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan yang terdapat di Malaysia.
Beliau berkata kajian untuk mengenal pasti keberkesanan racun organik dilakukan selama tiga musim di kawasan tanaman padi di Pusat Kecemerlangan Padi, Jabatan Pertanian Titi Serong dan ia berjalan dengan jayanya.
“Kita membuat dua perbandingan menggunakan racun organik dan racun kimia. Hasil kajian yang dijalankan mendapati berlaku perbezaan yang mana hasil (padi) meningkat sedikit walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
Dalam pada itu, Suzana berkata pihaknya bercadang untuk mempromosi produk berkenaan dalam pasaran tempatan serta luar negara dan pada masa yang sama akan meningkatkan kualiti racun tersebut.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTP Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata projek itu mendapat tempat kedua dalam kategori Cabaran Kimia Hijau dan Lestari Elsevier di Jerman tahun lepas.
“Sebanyak 500 kertas cadangan telah dihantar dan projek beliau (Suzana) telah terpilih di antara lima finalis. Kejayaan ini sangat bermakna dalam menjulang nama UTP ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Katanya, UTP amat menitikberatkan unsur kelestarian alam yang mana kajian ini dijalankan adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti di dalam bentuk penyelidikan yang berkaitan kejuruteraan, teknologi dan kemasyarakatan. – Bernama