Utusan khas ASEAN belum dapat tarikh kunjungan ke Myanmar

KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Utusan Khas ASEAN ke Myanmar, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof masih berusaha mendapatkan tarikh untuk melawat Myanmar.

Saifuddin, yang baru kembali memegang portfolio hal ehwal luar negara bagi kali kedua, berkata beliau telah menghubunginya kelmarin dan menyampaikan pandangannya termasuk lawatan itu yang sebaiknya dilakukan sebelum sidang kemuncak ASEAN bulan depan.

“Saya faham bahawa utusan khas telah pun berhubung dengan pihak berkuasa di Myanmar dan berusaha keras untuk masuk ke Myanmar secepat mungkin,” katanya kepada wartawan dalam sidang media maya, di sini, hari ini.

Saifuddin turut menekankan yang beliau harus diberi akses untuk bertemu sebanyak mungkin kumpulan berkepentingan sejajar dengan hasrat kelima konsensus yang dicapai ASEAN dalam membantu mencari penyelesaian kepada kemelut di Myanmar sejak junta tentera menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pada 1 Februari lepas.

“Kami sedikit bimbang bahawa pihak berkuasa Myanmar mungkin tidak memberikan akses kepada semua pihak yang berkepentingan, namun demikian, saya memberitahu agar beliau harus secepat mungkin mencuba mengunjungi Myanmar lebih daripada sekali sepanjang tempoh jawatannya dan berharap beliau dapat bertemu sebanyak mungkin pihak berkepentingan,” katanya.

Saifuddin juga menzahirkan kebimbangannya terhadap bantuan kemanusiaan kerana Pusat Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA), yang seharusnya menyampaikan bantuan ke Myanmar, belum bersedia untuk mengendalikan bantuan kemanusiaan di zon konflik.

“Ini adalah masalah besar bagi Pusat AHA dan saya berpandangan beliau sedang berusaha mencari jalan dan kaedah supaya bantuan kemanusiaan dapat dihantar kepada yang memerlukan tanpa halangan,” katanya.

Lima Konsensus itu ialah penamatan segera keganasan di Myanmar dan semua pihak harus bertenang; dialog yang membina antara semua pihak yang berkenaan untuk memulakan penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat; utusan khas Pengerusi ASEAN sebagai perantara proses dialog dengan bantuan Setiausaha Agung ASEAN; persatuan boleh memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA; dan utusan khas dan delegasi diberi akses mengunjungi Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan. – Bernama