Utusan Melayu tamat operasi

KUALA LUMPUR, 9 OKT – Utusan Melayu (Malaysia) Bhd yang juga penerbit akhbar harian Utusan Malaysia dan Kosmo, menamatkan operasinya hari ini selepas mengalami masalah kewangan.

Sehubungan itu, hari ini merupakan tarikh akhir bekerja untuk kakitangan manakala hari akhir perkhidmatan ditetapkan pada 31 Oktober 2019.

Pada 7 Oktober lepas, Lembaga Pengarah Utusan Melayu telah meluluskan cadangan Penggulungan Secara Sukarela Pemiutang.

Syarikat yang beroperasi sejak 80 tahun lepas itu juga telah melantik firma perakaunan dan perundingan bebas UHY Advisory (KL) Sdn Bhd sebagai pihak penyelesai interim.

“Utusan Melayu telah membuat perakuan bahawa syarikat itu tidak lagi solven untuk meneruskan perniagaan.

Syazwan Zaki, 28, (kiri) bersama rakannya Mohd Azlee Shafie, 29, membaca akhbar Kosmo dan Utusan Malaysia yang merupakan keluaran terakhir Utusan Melayu (M) Bhd, setelah syarikat itu menamatkan operasinya pada 9 Oktober. – Bernama

“Mesyuarat membabitkan syarikat itu dan pemiutang akan diadakan pada 6 November,” kata UHY Advisory (KL) dalam satu kenyataan di sini.

Pada 30 Ogos lepas, penerbit akhbar harian berbahasa Melayu tertua negara ini yang ditubuhkan pada 1939, telah dinyahsenarai dari Bursa Malaysia dengan harga dagangan akhirnya pada 5.5 sen.

Syarikat itu mula disenaraikan di bursa pada 1994.

Dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada kakitangan, Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata syarikat itu mengalami masalah perniagaan yang kritikal selepas Mei 2018.

Malah, katanya, syarikat itu telah mengambil pelbagai usaha untuk meletakkannya pada kedudukan lebih kukuh dan terjamin termasuk melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) serta menjual asetnya bagi mendapatkan aliran tunai yang mencukupi. – Bernama