Utusan Melayu tidak akan ditutup

KUALA LUMPUR, 20 OGOS – Kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad boleh menarik nafas lega, apabila pihak pengurusan syarikat penerbitan itu mengesahkan operasi syarikat tidak akan ditutup.

Pengerusi Eksekutif syarikat itu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata dakwaan penutupan syarikat yang mengeluarkan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo itu adalah tidak benar, walaupun mengakui keadaan kewangan syarikat berusia 80 tahun itu adalah ‘tenat’.

“Kita tidak ada pilihan, kerana pilihan mudah ialah tutup, tetapi Utusan Malaysia sudah 80 tahun, Utusan yang cetuskan pelbagai kejayaan dalam negara kita. Kita (Utusan) menentang Malayan Union, Utusanlah pencetus kemerdekaan, kerana Utusanlah Bahasa Malaysia jadi bahasa utama.

“Kalau ikut operasi sepatutnya 10 tahun dahulu Utusan sudah tiada. Kalau mahu persoal tentang rugi, Utusan mengalami kerugian sejak 2010 lagi, cuma ketika itu masih ada subsidi daripada kerajaan,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat khas bersama kakitangan, di Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Abdul Aziz turut memaklumkan pihaknya akan membayar gaji tertunggak pekerja dan bekas pekerja yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) sebanyak RM2,000 selewat-lewatnya malam ini.

Namun beliau berkata tiada tarikh tetap mengenai penyelesaian tunggakan gaji dan bayaran VSS tersebut.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata bagi membantu memulihkan keadaan kewangan syarikat itu pihaknya terpaksa menaikkan harga jualan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo sebanyak 50 sen senaskah, bermula Jumaat ini.

Harga akhbar Utusan Malaysia ketika ini adalah RM1.50 manakala Kosmo pula RM1.

Abdul Aziz turut menyeru kepada orang ramai yang mengambil berat mengenai nasib yang menimpa syarikat itu, agar membantu dengan membeli akhbar yang diterbitkan, dan mengalu-alukan lebih banyak pelabur ke syarikat tersebut. – Bernama

Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (tiga, kanan) ketika sidang media mengulas situasi semasa syarikat penerbitan akhbar itu yang tidak akan menghentikan operasi mereka, kelmarin. – Bernama