YANGON, 16 OGOS – Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar memulakan lawatan ke Myanmar hari ini, yang pertamanya ke negara Asia Tenggara itu sejak dilantik pada Oktober tahun lalu, sehari selepas junta menjatuhkan hukuman penjara ke atas pemimpin awam digulingkan, Aung San Suu Kyi.
Lawatan utusan tersebut, Noeleen Heyzer akan memberikan tumpuan kepada usaha menangani keadaan yang semakin membimbangkan dan keutamaan lain dalam bidang kuasanya, menurut satu kenyataan dikeluarkan PBB lewat kelmarin.
Ia bagaimanapun tidak memperincikan sama ada Heyzer akan bertemu dengan junta tentera yang memerintah negara itu sekarang atau bekas pemimpin, Suu Kyi.
Heyzer tiba di ibu negara Myanmar, Naypyidaw petang tadi, menurut pegawai keselamatan yang enggan didedahkan namanya. Jadual lawatannya belum lagi dikeluarkan namun beliau dijangka mengadakan pertemuan di Naypyidaw, menurut sumber diplomatik yang enggan memberikan butiran lanjut.
Usaha diplomatik menyelesaikan krisis diketuai PBB dan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) tidak mendatangkan banyak kejayaan, dengan jeneral enggan berunding dengan penentang. – AP
