Utusan PBB mohon akses di zon konflik di Tripoli

NEW YORK, 23 April – Seorang utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Libya kelmarin meminta akses bagi memudahkan petugas kemanusiaan ke zon konflik di Tripoli, lapor agensi berita China Xinhua.

“Antara isu kritikal dalam keupayaan kita untuk memberikan maklum balas ialah akses,” kata Maria do Valle Ribeiro, timbalan wakil khas setiausaha agung PBB bagi Libya, kepada pemberita.

Beliau menyeru pihak-pihak yang berkonflik agar menghormati undang-undang kemanusiaan dan memudahkan akses petugas kemanusiaan ke kawasan konflik agar mereka boleh mendekati golongan yang memerlukan bantuan.

Antara kematian pertama orang awam dalam konflik itu membabitkan tiga petugas perubatan – seorang pemandu ambulans dan dua anggota medik, yang terkorban ketika cuba menghantar bantuan kepada penduduk yang memerlukan, katanya.

Ketika pertempuran di Tripoli terus berlaku, situasi kemanusiaan bertambah buruk terutama dengan penggunaan artileri berat dan bedilan di sejumlah kawasan bandar yang padat penduduknya, kata beliau menerusi satu pautan video dari Tripoli.

Keganasan terkini bermula pada 4 April apabila Tentera Kebangsaan Libya pimpinan Jeneral Khalifa Haftar mara ke Tripoli, yang dikuasai kerajaan diiktiraf di peringkat antarabangsa, dan menyerang kawasan pinggir ibu kota itu. – Bernama