NAYPYIDAW, MYANMAR, 17 OGOS – Utusan khas baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar, Noeleen Heyzer memulakan pertemuan dengan pegawai tertinggi junta tentera hari ini, namun, tidak mengesahkan sama ada akan bertemu dengan pemimpin Myanmar yang disingkirkan, Aung San Suu Kyi.
Beliau tidak menjawab pertanyaan AFP sama ada akan bertemu Suu Kyi hari ini ketika dia meninggalkan hotelnya sambil diiringi oleh polis dan pasukan keselamatan.
Suu Kyi, 77, ditahan sejak rampasan kuasa tentera Februari lalu, kini menjalani hukuman penjara selama 17 tahun.
Jurucakap junta tentera, Zaw Min Tun, berkata Heyzer dijadualkan bertemu dengan Menteri Hal Ehwal Luar junta dan ketuanya, Min Aung Hlaing, hari ini.
“Kami berharap mendapat hasil yang baik (daripada mesyuarat itu),” katanya pada sidang media.
Heyzer, yang juga ahli sosiologi Singapura, dilantik oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres tahun lalu, menggantikan diplomat Switzerland, Christine Schraner Burgener.
Schraner Burgener telah menggesa PBB untuk mengambil ‘langkah tegas’ ke atas tentera junta dan menjadi sasaran akibat kritikan hebat dalam media yang disokong kerajaan Myanmar.
Pemimpin tentera menyekatnya daripada mengunjungi negara itu, di mana dia berharap dapat bertemu dengan Suu Kyi. – AFP