RAMALLAH, Wilayah Palestin, 14 Mac – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump masuk campur dalam konflik Israel-Palestin berdekad lamanya dengan salah seorang penasihat tertingginya akan mengadakan mesyuarat pertama bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Selepas lima jam rundingan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmuqaddis pada malam semalam, Jason Greenblatt akan bertemu Abbas di Ramallah di Tebing Barat yang diduduki.
Para pegawai AS menggambarkan lawatan daripada Greenblatt, perwakilan khas Trump itu bagi rundingan antarabangsa, sebagai satu misi pencarian fakta ketika Rumah Putih mencari jalan ke hadapan dalam memulakan usaha perdamaian yang menemui jalan buntu.
Namun ia muncul selepas Trump mengatakan ketidakpastian berhubung bertahun-tahun usaha antarabangsa untuk memupuk penyelesaian dua negara berhubung konflik apabila dia bertemu Netanyahu di Rumah Putih bulan lalu.
Pada mesyuarat itu, Trump memutuskan dasar AS berdekad lamanya dengan berkata dia tidak terikat dengan penyelesaian dua negara kepada konflik itu dan akan terbuka kepada satu negara jika ia bermaksud perdamaian.

Dia juga telah mencetuskan kebimbangan kalangan warga Palestin dan lainnya dengan berjanji semasa kempennya untuk memindahkan kedutaan AS di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, yang kedudukannya menjadi salah satu isu paling berduri dalam konflik tersebut.
Selepas pertemuan malam kelmarin, pejabat Netanyahu dan kedutaan AS mengeluarkan kenyataan bersama berkata dia dan Greenblatt membincangkan pembinaan penempatan dan jalan untuk mencapai perdamaian.
Kedua-duanya ‘mengesahkan semula komitmen bersama Israel dan AS untuk mempercepatkan perdamaian kekal dan tulen antara Israel dan Palestin yang memperkukuhkan keselamatan Israel dan memulihkan kestabilan di rantau itu,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu juga, Greenblatt ‘menyatakan komitmen Presiden Trump untuk keselamatan Israel dan berusaha untuk membantu rakyat Israel dan Palestin mencapai perdamaian kekal menerusi rundingan langsung itu.” – AFP