Pelakon Uyaina Arshad berkongsi detik cemas ditahan pihak berkuasa sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles (LAX), Amerika Syarikat baru-baru ini.
Menurut mStar, Uyaina atau Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, berkata, dia disoal siasat disebabkan penampilannya bertudung selepas raut wajahnya seperti wanita Arab.
“Pengawal berkenaan memiliki badan besar dan menyeramkan tapi Alhamdulillah ia bukan sesuatu yang serius.
“Itu belum cerita macam mana mereka tahan dan soal siasat saya. Mungkin sebab saya bertudung dan ‘tutup’ dari atas ke bawah.
“Kening pula tebal, dia ingat saya orang Arab. Masa ditahan rasa nak luruh jantung ke lantai,” katanya.

Uyaina berkongsi perkara itu di Instagram miliknya baru-baru ini yang turut memaparkan dirinya berada di hadapan mercu tanda ikonik Hollywood.
Dalam pada itu, Uyaina berkata, dia sepatutnya meneruskan perjalanan ke New York dari Los Angeles namun memutuskan untuk tidak ke sana pada saat akhir.
Uyaina berkata, selain bimbang akan keselamatannya, firasatnya mengatakan agar tidak ke sana.
“Ada rasa yang tak best pasal New York. Firasat kata jangan pergi, jadi saya tukar tiket penerbangan pada minit terakhir,” katanya.
Uyaina berkata, dia juga bimbang akan keselamatan diri apatah lagi ketika ini berada di Amerika yang terkenal dengan Islamofobia. – Agensi