Uyaina tak tunduk desakan berkahwin

Lambat bertemu jodoh pada usia mencecah 30 tahun bukan sesuatu mampu diduga. Soal jodoh, pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad, hanya berserah pada ketentuan Tuhan.

Pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan dan Curi Curi Cinta itu melihat persoa-lan jodoh daripada sudut lebih meluas. Pada usia 28 tahun, perspektif Uyaina sudah berbeza dalam kehidupan.

“Keutamaan sudah bertukar dan melihat banyak perkara dipandang pada sudut berbeza. Sebelum ini, saya percaya berkahwin awal seperti seseorang menuju ke puncak kejayaan. Gadis berusia mencecah usia 25 tahun dan tak berkahwin pula dianggap tidak laku.

“Hakikatnya, itulah pandangan masyarakat. Sedihnya, pandangan ini jauh tersasar,” kongsinya dalam laman Instagram.

Bagaimanapun, selebriti yang pernah diangkat sebagai juara pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 itu tidak bermaksud menyimpan perasaan cemburu terhadap gadis lain yang mendapat jodoh awal.

Uyaina Arshad hanya berserah pada ketentuan Tuhan apabila membabitkan soal jodoh. – Agensi

“Saya tak ada isu terhadap gadis yang berkahwin awal. Allah sebaik-baik pencerita. Selagi kita mengutamakan Allah dalam setiap keputusan dibuat, diri akan baik-baik sahaja.

“Harus diingat hidup ini bukan satu perlumbaan. Ia sebenarnya proses membesar dan menjadi lebih matang. Setiap orang juga membesar dengan laluan berbeza.

“Sekalipun ada yang menyebut separuh sempurnanya iman seorang Muslim apabila berkahwin, tetapi perkahwinan bukan permainan. Ia datang dengan tanggungjawab dan komitmen sepanjang hayat,” katanya. Lalu, Uyaina berkata, dia berpesan kepada diri, jangan berkahwin hanya kerana bahagian indah dan menyeronokkan.

“Jangan berkahwin kerana sudah menginjak usia tertentu. Jangan berkahwin kerana tekanan orang sekeliling yang sudah berkahwin.

“Paling penting, jangan berkahwin kerana anda memikirkan diri perlu memperbetulkan orang lain,” katanya.

Uyaina atau nama sebenarnya, Saidatul Naseha Uyaina Arshad berkata, berkahwin pada saat diri sudah gembira dan bersedia berkongsi dengan orang lain.

“Cinta bukan soal kita cuba memperbetulkan seseorang. Cinta berbalik pada memperbaiki kekurangan diri untuk menjadi lebih baik bersama-sama.

“Sungguhpun begitu, saya tidak menutup hati mengenali lelaki, asalkan tahu tanggungjawab, menyokong, matang dan memahami,” katanya. – Agensi