Vaksin AstraZeneca mencukupi bagi program vaksinasi

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Vaksin AstraZeneca adalah mencukupi untuk menampung kapasiti bagi program vaksinasi dan dalam masa terdekat, vaksin yang lain akan diperoleh.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara berkenaan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato menjelaskan, pada masa ini, kementeriannya berusaha memberikan 5,000 dos vaksin sehari dan melihat kepada situasi dan jumlah mereka yang ingin mendapatkan vaksin, kementerian merancang untuk menggandakan kepada 10,000 vaksin dalam sehari.

Sementara itu, bagi mereka yang akan meninggalkan negara ini, mereka masih perlu menjalani ujian RT-PCR 72 jam sebelum berlepas.

Ini adalah untuk memastikan keselamatan selain mereka akan mempunyai jalur terpisah yang berbeza daripada kontak terdekat yang sedang menjalani ujian swab di pusat yang sama.

Sementara itu, lokasi yang akan menjadi pilihan setakat ini untuk pusat bagi menempatkan pesakit yang sihat walaupun positif COVID-19 adalah di kawasan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di Daerah Temburong.

Yang Berhormat Dato berkata, ke arah mengharungi dan berdepan dengan cabaran gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di negara ini, pihak Kementerian Kesihatan selaku barisan hadapan, menggunakan persediaan yang telah dibuat pada 2020 semasa gelombang pertama dan ini ditambah dengan adanya pusat pengasingan dan kemudahannya.

“Untuk gelombang kedua ini, kita telah lebih bersedia hanya kita tidak menjangkakan jumlah terlalu banyak dan kini kita memerlukan satu pusat untuk menempatkan pesakit yang sihat walaupun positif COVID-19 dari segi penjagaan,” jelas beliau.

Manakala dari segi pengesanan kontak pula, beliau berkata, dengan adanya aplikasi BruHealth ia telah memainkan peranan pen-ting untuk mengesan kontak sekali gus dapat menghantar pihak berkaitan untuk membuat ujian swab dengan segera ke atas kontak.

Yang Berhormat Dato seterusnya menegaskan, masyarakat juga perlu memainkan peranan yang lebih penting untuk memberi kerjasama dengan mengikut apa juga arahan yang diberikan oleh pihak berkenaan.

Pada sidang media itu, beliau turut menyatakan bahawa pihak mereka akan menambah tempat ujian swab dan membuat ujian swab secara pandu lalu tapi melihat kepada kesesuaian tempat dengan memastikan ia tidak menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas dan keselamatan.

Dalam masa terdekat, tambah beliau, akan terdapat dua lokasi ujian swab secara pandu lalu.

Selain menyediakan tempat untuk ujian swab ini, anggota yang membuat ujian itu juga perlu dilatih terutama dalam penggunaan PPE.

Menurut Yang Berhormat Dato, untuk penggunaan PPE ini mereka bukan saja dilatih malah mereka juga perlu lulus ujian terutama untuk pemakaian N95.

“Setakat ini, anggota yang menjalankan swabbing telah bertambah hampir 20 kumpulan daripada hanya lima kumpulan sebelum ini dan untuk ujian swab pandu lalu ini, kami bukan sahaja perlu melatih orang yang menjalani swab tapi perlu menjalani ujian tersebut,” tambahnya.