DHAKA, 18 JULAI – Vaksin COVID buatan Bangladesh telah mendapat kelulusan bagi fasa pertama ujian ke atas manusia, lapor Xinhua.
Vaksin Bangavax, yang dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal tempatan Globe Biotech, menerima kelulusan daripada Direktorat Jeneral Pentadbiran Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Keluarga, kelmarin, selepas pihak berkuasa berkaitan menyemak semua ujian klinikal yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Kami telah mendapat kelulusan untuk ujian klinikal fasa pertama Bangavax,” kata pegawai kanan Globe Biotech, Mohammad Mohiuddin kepada pemberita.
Beliau berkata ujian vaksin COVID ke atas 60 sukarelawan yang sihat tubuh badan akan dijalankan di hospital Universiti Perubatan Sheikh Mujib Bangabandhu di Dhaka.
Pada November lepas, Bangavax, vaksin satu dos COVID, mendapat kelulusan daripada Majlis Penyelidikan Perubatan Bangladesh untuk diuji ke atas 64 peserta dewasa yang sihat. – Bernama