Vaksin budak 5-11 tahun dipersetujui

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Program vaksinasi bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah diberi kebenaran dan dipersetujui oleh Bahagian Teknikal Kementerian Kesihatan selepas penilaian yang dibuat oleh bahagian tersebut.

Perkara tersebut adalah antara yang dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan yang berlangsung pada petang tadi.

Selain itu, pada masa ini perundingan telah dibuat bersama pihak Pfizer untuk mendatangkan vaksin berkenaan bagi melaksanakan program vaksinasi tersebut. 

Yang Berhormat Dato pada masa yang sama turut mengongsikan bahawa vaksin Pfizer berkenaan dijangka diterima di negara ini sekitar suku pertama tahun 2022.