Vaksin China masuki tahap ujian akhir di Brazil

BRASILIA, 22 JULAI – Seramai 9,000 petugas kesihatan di enam buah negeri di Brazil menerima vaksin buatan China bagi melawan virus COVID-19, yang kini memasuki tahap akhir ujian, di mana sukarelawan menerima dos pertama yang diharap dapat mengakhiri pandemik itu.

Vaksin, yang dibangunkan oleh firma farmasi swasta Cina, Sinovac dengan kerjasama pusat penyelidikan kesihatan awam Brazil, Institut Butantan, menjadi yang ketiga di dunia yang memasuki ujian klinikal tahap tiga atau ujian skala besar pada manusia iaitu langkah terakhir sebelum mendapat persetujuan peraturannya.

“Kita hidup pada waktu yang sangat unik dan bersejarah, jadi saya mahu menjadi sebahagian daripada percubaan ini,” kata seorang doktor yang enggan dikenali yang menerima dos pertama di Hospital das Clinicas (HC), Sao Paulo.

Kira-kira 9,000 pekerja kesihatan di enam negeri di Brazil akan menerima vaksin, yang dikenali sebagai Coronavac dalam dua dos dalam tempoh tiga bulan akan datang di bawah kajian ini.

Gabenor Sao Paulo, Joao Doria berkata, jangkaan keputusan adalah dalam tempoh 90 hari.

Sekiranya vaksin itu terbukti, institut berkenaan mempunyai hak untuk menghasilkan 120 juta dos mengikut perjanjian.

Selain itu, syarikat milik negara China, Sinopharm, juga memasuki percubaan tahap tiga bulan ini di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Britain The Lancet mendapati dua jenis vaksin selamat dan menghasilkan tindak balas imun dalam percubaan tahap dua iaitu vaksin Oxford dan vaksin buatan Cina yang dikembangkan oleh firma farmasi CanSino Biologics bersama dengan Institut Bioteknologi Beijing. Penyelidik seluruh dunia berlumba-lumba dan menguji vaksin yang setakat ini lebih 150 projek. – AFP