Vaksin COVID-19 cukup tampung populasi global

GENEVA, 8 SEPT – Jumlah dos vaksin COVID-19 yang akan dihasilkan menjelang hujung tahun ini akan cukup memenuhi populasi global, kata syarikat besar industri terbabit.

Ketua Persekutuan Pengilang dan Persatuan Farmasi Antarabangsa (IFPMA), Thomas Cueni berkata ambang penghasilan 7.5 bilion dos vaksin akan dicapai pada September, meskipun terdapat jurang luas kadar vaksinasi negara miskin dan kaya.

Katanya, sehingga 70 peratus populasi dewasa sudah menerima dua dos vaksin di negara kaya, sementara hanya enam peratus individu dewasa menerima vaksin di Afrika.

Syarikat analisis data saintifik, Airfinity, berkata kira-kira 1.5 bilion dos vaksin COVID-19 dihasilkan setiap bulan.

Penghasilan dos vaksin COVID-19 global diunjurkan mencapai 12 bilion pada akhir tahun ini.

Menurut Airfinity, ini bermakna walaupun negara kaya ingin memberikan vaksin kepada semua penduduknya yang berumur 12 tahun ke atas, namun akan ada sekurang-kurangnya 1.2 bilion dos yang tersedia untuk diagihkan semula ke negara miskin.

“Ini juga bermakna kerajaan masih menyimpan bekalan vaksin dan jika berlaku kekurangan, tidak timbul lagi kebimbangan mengenainya,” kata Cueni.

Dalam pada itu, IFPMA berkata penghasilan dos vaksin akan mencapai 24 bilion pada pertengahan tahun depan, jumlah yang jauh lebih besar daripada permintaan global.– AFP

Seorang jururawat menyediakan dos vaksin Pfizer di pusat vaksinasi di Noumea, New Caledonia pada 7 September 2021. Jumlah dos vaksin COVID-19 yang akan dihasilkan menjelang hujung tahun ini akan cukup memenuhi populasi global, kata syarikat besar industri terbabit.- AFP