Vaksin COVID-19 diiktiraf WHO

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengiktiraf mana-mana vaksin COVID-19 yang digunakan untuk kecemasan dan secara tidak langsung ia seharusnya juga diiktiraf oleh semua negara disebabkan akses ke atas vaksin juga terhad.

“Bagaimanapun terdapat juga beberapa negara yang mempunyai undang-undang tersendiri yang hanya mengiktiraf vaksin tertentu dan ia adalah hak negara masing-masing untuk membuat keputusan tersebut,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan persoalan pada sidang media mengenai kebimbangan sebilangan ibu bapa dan penjaga tentang anak-anak mereka yang akan melanjutkan pengajian di luar negara telah menggunakan vaksin yang tidak diiktiraf oleh negara tertentu.

Bagaimanapun, Yang Berhormat Dato menjelaskan yang United Kingdom tidak menghalang mana-mana pelajar luar yang hendak melanjutkan pengajian mereka ke negara itu, tetapi akan dikehendaki untuk dikuarantin jika dalam satu pesawat itu terdapat orang yang positif COVID-19.

Ketika ditanya mengenai tarikh pemberian dos kedua vaksin yang sebahagiannya diawalkan telah memberi kesulitan kepada kakitangan offshore yang mana tarikh diberikan tidak bersesuaian dengan waktu kerja mereka di laut, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa mereka hanya perlu menekan punat batal dan menghubungi pihak Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) atau Pusat Kesihatan Panaga untuk membuat perjanjian baharu yang mana pusat berkenaan juga mengendalikan suntikan untuk pekerja BSP dan syarikat-syarikat di bawahnya.