Vaksin COVID-19 perlu dua kali setahun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Vaksin bagi COVID-19 yang akan dikeluarkan mungkin perlu diberikan sekurang-kurangnya dua kali setahun dan ia akan memberikan kesan di mana lebih banyak vaksin perlu dihasilkan serta akan menambah kos bagi memberikan vaksin berkenaan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab persoalan mengenai terdapat laporan tentang pesakit COVID-19 yang sembuh dan dijangkiti kembali serta impaknya kepada keberkesanan vaksin yang sedang dijalankan. Pada masa ini, terdapat beberapa vaksin yang diuji telah memasuki peringkat ketiga ujian dan jika keputusan ujian di peringkat ketiga itu adalah baik, vaksin berkenaan boleh dihasilkan dengan banyak bagi kegunaan penduduk dunia, jelasnya lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Pada masa ini, kita masih menunggu vaksin ujian peringkat ketiga mana yang berkesan dan perlu dipantau serta bagi Negara Brunei Darussalam, kita bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan-rakan lain untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai ujian berkenaan,” ujar beliau.

Terdahulu ketika mengulas tentang laporan mengenai seorang pesakit COVID-19 yang telah sembuh dan dijangkiti buat kali kedua, Yang Berhormat Dato menerangkan bahawa perkara yang menarik mengenai kes berkenaan ialah pesakit tersebut dijangkiti di negara asalnya iaitu jenis virus (strain) yang spesifik di mana beliau menunjukkan gejala dan telah sembuh.