Vaksin diagih dalam 3 fasa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Rakyat dan penduduk yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam akan diberikan vaksin COVID-19 secara percuma dengan empat pusat vaksinasi telah dikenal pasti iaitu Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bagi Daerah Brunei dan Muara, Hospital Suri Seri Begawan bagi Daerah Belait, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Daerah Tutong dan Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam di Daerah Temburong.

Sementara itu, strategi pembahagian vaksin COVID-19 terbahagi kepada tiga fasa dengan fasa pertama bagi petugas barisan hadapan, warga emas iaitu 60 tahun ke atas dan pelajar-pelajar yang akan menuntut di luar negara, fasa kedua ialah kakitangan pusat penjagaan kanak-kanak, orang dewasa yang berisiko tinggi dan guru-guru serta fasa ketiga ialah orang ramai iaitu 18 tahun ke atas.

Maklumat terkini mengenai vaksinasi COVID-19 berkenaan diketengahkan dalam Strategi Vaksinasi Negara Brunei Darussalam yang diterbitkan dalam laman sesawang Kementerian Kesihatan di mana ia akan dilaksanakan apabila vaksin COVID-19 tiba di Negara Brunei Darussalam.

Menurut dokumen itu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah merangka Strategi Vaksinasi bagi rakyat dan penduduk yang bermastautin di negara ini yang dirangka oleh Kementerian Kesihatan dengan melibatkan agensi-agensi yang relevan dengan kepakaran berdasarkan kesihatan untuk sama-sama menjayakan Program Vaksinasi COVID-19.

Strategi itu menjelaskan mengenai langkah bagi tempahan vaksin COVID-19 di mana para penerima vaksin perlu mengesahkan akaun BruHealth dan tekan COVID-19 Vaccination serta dikehendaki untuk membaca kenyataan maklumat penyertaan vaksinasi dan mengisi soalan saringan, seterusnya, penerima perlu mengisi borang kebenaran dan tempah perjanjian dengan peringatan mengenai tempahan akan diberikan 24 jam sebelum perjanjian tersebut. Penerima juga akan diberikan kod QR yang mengandungi maklumat perjanjian di mana selepas mendapatkan vaksin, penerima dikehendaki untuk melaporkan sebarang kesan sampingan selepas tujuh hari menerusi BruHealth.

Strategi itu turut menjelaskan mengenai vaksin yang menyatakan vaksin adalah cara mudah, selamat dan berkesan untuk melindungi individu daripada penyakit berjangkit, penghasilan vaksin, proses penilaian dan pemilihan vaksin. Mengenai proses penilaian dan pemilihan vaksin yang sudah dijalankan di Negara Brunei Darussalam sejak 2020, proses itu dijalankan oleh Jawatankuasa Teknikal Vaksin COVID-19 di mana ahli-ahli jawatankuasa terdiri daripada doktor-doktor, saintis dan ahli farmasi dalam pelbagai kepakaran.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai dengan Strategi Vaksinasi Negara Brunei Darussalam, bolehlah melayari laman sesawang, http://www.moh.gov.bn/SitePages/COVID-19%20Vaccine.aspx.