Vaksin diluluskan WHO dijamin berkesan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 DIS – Apa juga vaksin yang telah diluluskan di negara ini terutama yang bersangkut paut dengan apa yang telah diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), adalah vaksin berkesan.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar memberi respons kepada pertanyaan mengenai keberkesanan Sinopharm.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan, apa jua jenis vaksin, bila masa berlalu, keberkesanannya akan berkurangan, seperti vaksin flu di mana setiap tahun perlu mendapatkan vaksin.

Memang dijangkakan kesannya akan menurun dengan masa yang berlalu, tambahnya, sebab itu kita menjalankan program dos penggalak (booster) yang mana tempoh masa untuk mendapatkan dos penggalak bagi Sinopharm adalah selama tiga bulan manakala vaksin yang lain tempohnya lima bulan ke atas.

Dengan adanya varian baharu Omicron ini, jelasnya, di Eropah dan Amerika Syarikat mereka meneliti semula keperluan pemberian dos penggalak ini lebih awal daripada yang dijangkakan.

“Kementerian Kesihatan pun sedang meneliti keadaan ini dan jika ada dapatan mendapati perlu diberikan awal, mungkin ia akan diselaraskan pemberian dos penggalak seperti Sinophram iaitu tiga bulan ke atas,” jelasnya.

Beliau seterusnya menambah, bila sudah ada dapatan dari negara lain, melihat keadaannya dan jika ada keperluan, kita akan menyelaraskan dengan Sinopharm.

Katanya lagi, di negara kita juga sudah terbukti Sinopharm sangat berkesan, Ia adalah salah satu vaksin yang digunakan dan Alhamdulillah vaksinasi tersebut dapat menolong mengawal penularan wabak.

“Orang ramai tidak perlu berasa khuatir dan risau, vaksin ini memang Kementerian Kesihatan ‘ragap ati’ dengan keberkesanannya,” jelasnya.