Vaksin dos tunggal sesuai penduduk pulau di Semporna

SEMPORNA, 20 JUN – Penduduk yang tinggal di pulau-pulau yang jauh dari Pekan Semporna di sini, lebih sesuai untuk diberikan dengan vaksin COVID-19 jenis dos tunggal bagi memudah dan melancarkan lagi program vaksinasi selain menjimatkan kos pengangkutan, masa serta mengurangkan risiko.

Pegawai Kesihatan Daerah Semporna Dr Shameer Khan Sulaiman berkata beliau telah memaklumkan perkara itu dalam mesyuarakat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama menteri dan pengurusan tertinggi baru-baru ini. “Saya minta vaksin dos tunggal diberikan kepada penduduk pulau kerana ia lebih sesuai… risau jika diberikan vaksin jenis dua dos, apabila kita datang semula ke pulau untuk suntikan kedua, mereka menghilang, ini akan membazir masa dan kos.

“Saya yakin pihak KKM faham dengan kekangan yang dihadapi dari segi geografi ini, jadi vaksin jenis satu dos ini memang amat diperlukan kerana Semporna mempunyai banyak pulau yang terletak jauh dari pekan misalnya Pulau Denawan dan Pulau Omadal,” katanya. – Bernama