Vaksin hanya cukup untuk 20% penduduk negara miskin – COVAX

GENEVA, 9 SEPT – COVAX kelmarin memaklumkan hanya dapat menyediakan vaksin COVID-19 kepada 20 peratus penduduk di negara-negara miskin untuk tahun ini, jauh berbanding sasaran, yang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sesuatu yang tidak boleh diterima.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata banyak perbincangan mengenai ekuiti vaksin dari negara berpendapatan tinggi “tetapi terlalu sedikit tindakan.”

Beliau meminta moratorium terhadap dos suntikan penggalak atau ‘booster’ di seluruh dunia dilanjutkan, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Hari ini, kemampuan COVAX untuk melindungi golongan yang paling terancam di dunia terus dihalang oleh larangan eksport, keutamaan perjanjian dua hala oleh pengeluar dan negara, halangan yang berterusan dalam meningkatkan pengeluaran vaksin oleh beberapa pengeluar utama, dan kelewatan mengajukan kelulusan peraturan,” memetik kenyataan WHO dan Gavi.

Menurut jangkaan terkini, perkhidmatan perkongsian vaksin COVAX menganggarkan mendapat akses kepada 1.425 bilion dos vaksin COVID-19 pada 2021, cukup untuk melindungi hanya 20 peratus penduduk di negara-negara miskin. – Bernama

Pekerja memunggah penghantaran pertama 100,620 dos vaksin Pfizer/BioNTech sejurus tiba di Buenos Aires. COVAX memaklumkan hanya dapat menyediakan vaksin kepada 20 peratus negara miskin tahun ini. – AFP