Vaksin HIV J&J gagal ujian klinikal

WASHINGTON, 1 SEPT – Vaksin HIV keluaran Johnson & Johnson (J&J) yang sangat dinanti-nantikan, gagal menunjukkan perlindungan mencukupi dalam ujian klinikal membabitkan 2,600 wanita muda di sub-Sahara Afrika, kata syarikat itu dan pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) semalam.

Walaupun vaksin itu didapati selamat untuk digunakan tanpa kesan sam-pingan serius, keberkesanannya dalam mencegah jangkitan HIV hanya kira-kira 25 peratus.

Susulan itu, ujian ‘Imbokodo’ yang bermula pada 2017 dihentikan dan peserta dari Malawi, Mozambique, Afrika Selatan, Zambia dan Zimbabwe akan diberitahu sama ada mereka bakal menerima suntikan vaksin itu atau plasebo.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Saintifik J&J, Paul Stoffels, berterima kasih kepada wanita yang menyertai ujian klinikal itu dan rakan kerjasamanya.

“Walaupun kami kecewa kerana peserta yang diberi suntikan vaksin dalam percubaan Imbokodo itu tidak menunjukkan tahap perlindungan mencukupi terhadap jangkitan HIV, kajian ini akan memberikan dapatan saintifik penting dalam usaha berterusan bagi menghasilkan vaksin untuk mencegah HIV.

“Kami mesti menerapkan pengetahuan yang dipelajari daripada percubaan Imbokodo dan terus berusaha mencari vaksin yang akan memberi perlindungan terhadap HIV,” kata Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit AS, Anthony Fauci yang juga pengasas bersama kajian itu. Vaksin J&J menggunakan teknologi adenovirus yang hampir sama dengan vaksin COVID-19, dan diberikan dengan empat vaksinasi selama setahun.

Percubaan itu dianalisis dua tahun selepas wanita berusia 18 hingga 35 tahun menerima dos pertama mereka. Proses penghasilan vaksin untuk HIV amat sukar kerana terdapat ratusan atau ribuan varian di dalam setiap orang yang dijangkiti. – AFP

Gambar menunjukkan logo Johnson&Johnson di bahagian luar peti pertolongan cemas di Wadpole, Massachussets. – AP