Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Vaksin ketuhanan sebagai penawar dan pelindung musibah

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Vaksin ketuhanan adalah berupa zikir, doa dan ayat-ayat Al-Quran, yang penuh diyakini mampu untuk mendepani ketidaktentuan.

    Ketidaktentuan yang dimaksudkan itu ialah perkara-perkara yang ada hubungan dengan kejiwaan seperti gelisah, hati tidak tenteram, runsing, takut, ragu, gelabah, tidak yakin, putus harapan dan lain-lain yang bukan senang untuk diubati.

    Kalau mereka yang bukan beragama Islam, untuk mengubat runsing mungkin saja akan mengambil dadah atau minum minuman beralkohol dan sebagainya.

    Bagi orang Islam, terdapat ubat yang istimewa yang lebih seribu tahun sudah tersedia ada, yang bukan berbentuk pil untuk ditelan, atau bentuk cecair untuk disuntikkan.

    Ia cuma berupa bacaan atau sebutan yang namanya vaksin ketuhanan, yang mana kalau ia dipakai, Insya-Allah penyakit terubat, rungsing dan gelisah akan hilang.

    Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa membentangkan kertas kerja pada NICHE2022 anjuran bersama Fakulti Pendidikan, KUPU SB dan PERKAB baru-baru ini. – Gambar oleh Rokiah Mahmud
    Antara yang hadir semasa NICHE2022 yang diadakan di KUPU SB baru-baru ini.

    Perkara tersebut itu ditegaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, semasa membentangkan kertas kerja pada Persidangan Kaunseling Kebangsaan 2022 (NICHE2022) anjuran bersama Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Persatuan Kaunseling Brunei Darussalam (PERKAB) yang diadakan di KUPU SB baru-baru ini.

    Menurut Yang Berhormat Pehin, perkara ini memang ada bukti dan malah bukti paling benar dan muktamat, sebagaimana di dalam Surah Ar-Ra’d ayat 28, Allah berfirman, tafsirnya:

    “Orang-orang yang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenang tenteram dengan zikrullah. Ketahuilah, dengan zikrullah itu tenang tenteramlah hati-hati manusia.”
    “Ini bukan cakap kita, bukan juga pendapat mana-mana pakar, tetapi kalam, siapa Yang Maha Tahu, siapa Yang Maha Pakar.

    “Jadi dengan ini fahamlah kita, betapa hebatnya vaksin ketuhanan yang namanya zikrullah itu. Ia mampu untuk mengusai dan merawat penyakit-penyakit dalaman (ketidaktentuan), malah penyakit-penyakit luaran juga,” jelas Yang Berhormat Pehin.

    Daripada ayat tersebut, jelas Yang Berhormat Pehin lagi boleh difahami bahawa Allah SWT sendiri telah memberikan perhatian khusus kepada penyakit dalaman (ketidaktentuan) yang boleh juga diterjemahkan sebagai penyakit kejiwaan.

    Maka adalah tidak wajar bagi kita untuk memandang ringan kepada penyakit-penyakit kejiwaan, kerana risikonya adalah sangat tinggi, boleh menyebabkan tekanan perasaan dan stres yang berpanjangan dan menyebabkan kemurungan sehingga kadang-kadang membuat penghidapnya melakukan tindakan membunuh diri.

    Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan tekanan perasaan dan stres ini juga, boleh mencetuskan pelbagai penyakit jiwa yang lain di samping penyakit-penyakit jasmani yang kronik seperti sakit jantung, darah tinggi dan turut melemahkan sistem imun badan.

    “Jika Allah sendiri telah memberikan perhatian khusus sehingga sampai menyediakan panduan bagaimana mengubati penyakit ini, mengapa pula kita tidak akan memberikan perhatian? Sesungguhnya tidaklah wajar bagi kita untuk memandang ringan kepada penyakit-penyakit dalaman (kejiwaan) itu, kerana risikonya adalah sangat tinggi, sehingga
    kadang-kadang menyeret pengidapnya kepada tindakan membunuh diri,” tegasnya. 

    Menurut Yang Berhormat Pehin, penyebab tekanan perasaan itu banyak, ada orang tertekan kerana dihimpit oleh masalah-masalah yang tidak dapat diselesaikan, seperti masalah kewangan, masalah kecewa dan putus asa serta lain-lain lagi.

    Apabila masalah-masalah ini dihadapi, rutin seseorang boleh saja terganggu, seperti tidak dapat tidur atau tidur terlalu banyak, tidak lalu makan dan minum, perangai berubah seperti asalnya, banyak bercakap tetapi tiba-tiba menjadi pendiam dan tidak berkomunikasi.

    Memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Yang Berhormat Pehin berkata terdapat lebih 703,000 kes kematian disebabkan membunuh diri pada setiap tahun dengan purata satu kejadian bunuh diri ialah pada setiap 40 saat.

    Menurutnya jika melihat kepada risiko penyakit stres yang paling buruk ialah membunuh diri, maka wajiblah kita bersyukur kepada Allah yang telah menyediakan ubatnya untuk kita iaitu zikir.

    Bagaimanapun kuatnya pengaruh stres, dengan zikir tegasnya ia pasti lemah.

    Zikir, khasnya yang bernama Al-Quran, menurut Yang Berhormat Pehin adalah ubat untuk merawat dalaman manusia seperti marah, stres, resah gelisah dan murung; pendeknya ubat segala macam masalah mental dan malah juga meliputi untuk merawat penyakit-penyakit jasmani.

    Memperkatakan mengenainya vaksin pencegah atau penolak penyakit, sebelum penyakit mengenai kita, menurut Yang Berhormat Pehin memang banyak vaksin untuk itu tetapi kita sering lupa mengenainya.

    “Perlu benar-benar disedari bahawa kita ini adalah makhluk yang sering lupa. Di sini kelemahan kita sebagai manusia, tidak terkecuali umat Islam. Padahal agama menyuruh supaya kita jangan lupa perkara yang baik seperti membaca Basmalah, sangat dituntut supaya jangan sekali-kali lupa, kerana jika lupa, rugi. 

    “Apa ruginya? Ruginya hilang berkat. Berkat itu adalah perkara istimewa, ia bukan boleh didapat dengan membeli di pasaran, tidak boleh.

    Tetapi Allah telah sediakan secara percuma sebagai tanda kemurahanNya yang tidak terbatas kepada kita, maka janganlah ia disia-siakan. Mari! Wahai diri-diri muslim, kita sama-sama mengambil peringatan,” tegas Yang Berhormat Pehin.

    Yang Berhormat Pehin seterusnya menegaskan semua vaksin ketuhanan yang berupa pelindung atau penolak bencana dan perawat penyakit yang diajarkan oleh Allah dan rasulNya, perlu untuk diamalkan secara berterusan agar diterima kesan manfaatnya.

    Jika tidak atau lupa membuatnya, maka tidaklah akan wujud cerita kesan manfaat itu.

    Contoh mengenai tuntutan beramal secara berterusan itu jelas Yang Berhormat Pehin, ialah membaca Basmalah sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud, Nabi SAW bersabda, maksudnya:

    “Tiap-tiap perkara yang mulia, yang baik, tidak dimulai ia dengan Basmalah, maka hasilnya adalah kurang atau sedikit berkat.”

    Malah dalam satu riwayat lain jelas Yang Berhormat Pehin lagi, Basmalah itu adalah pendinding atau kubu atau pencegah angkara musuh yang paling durjana iaitu syaitan.

    Sebagaimana dalam maksud hadis berkenaan:

    “Tiada daripada seorang yang memasuki rumahnya melainkan ikut bersama-sama masuk ialah syaitan. Sekiranya dia masuk itu membaca Basmalah, maka berkata syaitan: Tiada tempat tinggal bagiku di sini.

    Jika dia makan membaca Basmalah maka berkatalah syaitan: Tiada makanan bagiku di sini. Jika dihidangkan kepadanya minuman dan dia membaca Basmalah, maka berkatalah syaitan: Tiada minuman bagiku di sini. Jika dia berbaring hendak tidur dengan membaca Basmalah, maka berkatalah syaitan: Tiada tempat tidur bagiku di sini.”

    Tetapi jika sebaliknya, tuan rumah masuk tanpa membaca Basmalah, nescaya berjayalah syaitan masuk bersama-samanya.

    Jika makan dan minum juga tanpa Basmalah, nescaya syaitan juga dapat masbuk dengan turut makan dan minum bersama-sama.

    Bahkan jika tuan rumah bersatu dengan isteri tanpa membaca Basmalah, maka syaitan juga turut masbuk menggauli isterinya.

    Jadi ternyata di sini, vaksin ketuhanan yang bernama Basmalah sahaja adalah asasi untuk dipakai secara berterusan tanpa had masa.

    Begitulah juga dengan vaksin ketuhanan yang lain, perlu dipakai sebagai zikir, sebagai wirid dan sebagai doa secara berterusan, barulah akan dijawat manfaatnya selaku ubat, selaku senjata, selaku pagar pencegah dan penghalang segala musibah dan bencana, kongsi beliau.

    “Dengan mengambil dalil dari vaksin Basmalah sahaja, rasa-rasanya sudah cukup dan memadai untuk kita mendepani segala ketidaktentuan, sama ada luaran mahupun dalaman. Tetapi soalnya, berapa ramaikah orang-orang Islam yang kekal ingat dan konsisten untuk melakukan perkara ini? soal Yang Berhormat Pehin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...