Vaksin langkah terbaik cegah kesan jangkitan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Sebagaimana yang telah diterangkan, orang yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 masih berkemungkinan dijangkiti virus SARS-CoV-2 tetapi pada kebiasaannya, jangkitan tersebut hanya akan menyebabkan kesan jangkitan yang ringan sahaja.

“Suntikan vaksin COVID-19 masih merupakan langkah yang paling berkesan bagi mencegah kesan jangkitan tersebut dibandingkan dengan pemakaian pelitup muka pada setiap masa, penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan diri khususnya, kerap mencuci tangan,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut beliau lagi, pada lazimnya, suntikan dos kedua yang melengkapkan suntikan COVID-19 hanya akan berkesan sepenuhnya selepas 14 hari.

“Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk mempertingkatkan kapasiti Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 untuk memberikan kesempatan bagi lebih ramai lagi rakyat dan penduduk negara ini menerima suntikan dengan segera,” ujar beliau.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengamalkan zikir, doa dan amalan lain untuk memohon keampunan, petunjuk, taufik dan hidayah daripada Allah SWT supaya Negara Brunei Darussalam sentiasa dilindungi daripada kemudaratan dan bencana penularan wabak COVID-19.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani