Vaksin Moderna di Brunei selamat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Vaksin Moderna yang digunakan oleh Negara Brunei Darussalam tidak terjejas seperti apa yang dilaporkan berlaku di negara lain.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan, terdapat tiga tempat yang membuat vaksin berkenaan di seluruh dunia dan vaksin yang digunakan oleh negara ini tidak sama dengan batch yang digunakan oleh negara tersebut.

Beliau menjelaskan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa pemantauan dibuat oleh jawatankuasa tertentu bagi mereka yang telah mendapatkan vaksin mengalami kesan sampingan yang serius.

“Ada kalanya tidak mudah untuk menghubungkan sama ada ianya disebabkan vaksin atau lainnya kerana kebanyakan orang ada faktor risiko tertentu dan untuk memastikannya, ia memerlukan bedah siasat dan apa saja kejadian yang bukan saja disebabkan vaksin atau mati mengejut memerlukan bedah siasat,” jelasnya.

Menyentuh mengenai peningkatan jumlah kematian akibat COVID-19 di negara ini, Yang Berhormat Dato menjelaskan, selain mudah menjangkiti, mereka yang berisiko tinggi dan penyakit yang tidak berjangkit seperti kegagalan buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi tidak terkawal terutama berat badan yang tinggi (high BMI) mempunyai faktor risiko yang tinggi untuk menyebabkan seseorang itu mempunyai gejala lebih teruk daripada yang lain selain daripada tidak bervaksin.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah pada sidang media itu, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani