WASHINGTON, 22 APRIL – Firma farmaseutikal Amerika Syarikat (AS), Pfizer semalam mengesahkan dos vaksin COVID-19 yang dirampas di Mexico dan Poland adalah palsu.
Menurut media AS, satu dos vaksin itu dijual pada harga sehingga AS$1,000.
Wall Street Journal melaporkan sebuah klinik di Mexico didapati memberi suntikan vaksin palsu kepada kira-kira 80 orang.
“Bebuli vaksin berkenaan dijumpai disimpan dalam mesin penyejuk bir dan pada awalnya dikenal pasti berdasarkan nombor lot palsu dan tarikh luput,” kata pegawai Mexico.
Menurut syarikat itu, cecair yang terkandung dalam bebuli dirampas di Poland adalah bahan kosmetik dianggap sebagai krim anti kedut.
“Kami menyedari kegiatan ini didorong oleh kemudahan platform e-dagang dan apabila tidak dapat dikesan menerusi internet, penipuan, pemalsuan dan kegiatan haram lain yang berkaitan dengan vaksin serta rawatan COVID-19 akan meningkat,” kata jurucakap Pfizer kepada ABC News.
Pada Februari lalu, pihak berkuasa kesihatan di Nuevo Leon, sebuah negeri di utara Mexico, memberi amaran mengenai penjualan vaksin COVID-19 secara sulit dan menyarankan orang ramai tidak mengambilnya.
Ketua Keselamatan Global Pfizer, Lev Kubiak berkata keperluan yang terdesak dan kekurangan vaksin menjadi punca berlaku penipuan.
“Kita mempunyai bekalan sangat terhad, bekalan akan meningkat sekiranya kita meningkatkan tahap penghasilan dan syarikat lain menyertai bidang vaksin. Justeru, ada peluang terbuka untuk penjenayah, katanya kepada Wall Street Journal.– AFP