Vaksin percubaan AS$60 dikeluarkan di China

BEIJING, 16 OKT – Vaksin koronavirus percubaan dua dos berharga AS$60 akan disediakan kepada beberapa penduduk di bandar timur China, kata pegawai kesihatan, butir-butir pertama mengenai pengeluaran besar-besaran vaksin yang belum terbukti berkesan itu.

Pegawai di bandar Jiaxing berkata semalam, penduduk berusia di antara 18 dan 59 tahun dengan ‘keperluan terdesak’ boleh mendapatkan rundingan di klinik untuk vaksin Sinovac Biotech yang telah diberikan oleh pihak berkuasa kepada kumpulan se-perti pekerja perubatan.

Kenyataan dari pusat kawalan dan pencegahan penyakit Jiaxing tidak menyatakan apa yang dimaksudkan sebagai ‘keperluan terdesak.’

Pihak berkuasa tidak berkata jumlah orang di bandar yang telah diberikan vaksin itu, yang datang dalam dua dos, diberikan dalam selang 28 hari dan berharga 400 yuan.

China telah memberikan vaksin percubaan kepada ratusan ribu pekerja penting di pelabuhan, hospital dan kawasan berisiko tinggi lain di seluruh negara, menurut pegawai.

Pegawai kesihatan memberitahu sidang media pada bulan lalu bahawa negara itu menjangka berupaya menghasilkan 610 juta dos vaksin setahun menjelang hujung tahun, menekankan ia mampu dibeli oleh orang. – AFP