Vaksin Pfizer selamat untuk budak 5-11 tahun

FRANKFURT, 20 SEPT – Pfizer dan BioNTech berkata hari ini keputusan percubaan menunjukkan vaksin mereka adalah selamat dan menghasilkan respons imun kuat ke atas kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, menambah mereka akan berusaha mendapatkan kelulusan badan pengawal selia tidak lama lagi.

Vaksin itu akan diberikan dengan dos yang lebih rendah berbanding remaja berusia lebih 12 tahun, menurut kenyataan.

“Dalam peserta berusia lima hingga 11 tahun, vaksin adalah selamat, boleh diterima dan menunjukkan respons antibodi peneutralan yang memberangsangkan,” kata syarikat AS Pfizer dan rakan Jerman dalam satu kenyataan bersama.

Mereka merancang menghantar data mereka kepada badan pengawal selia di Kesatuan Eropah, AS dan seluruh dunia ‘secepat mungkin.’

Keputusan percubaan merupakan yang pertama untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun, dengan percubaan Moderna untuk kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun masih diteruskan. Kedua-dua vaksin Pfizer dan Moderna telah pun diberikan kepada remaja berusia lebih 12 tahun dan orang dewasa di negara di seluruh dunia.

Walaupun kanak-kanak dianggap kurang berisiko dijangkiti COVID-19 yang serius, timbulnya kebimbangan varian Delta yang menular dengan cepat itu mungkin membawa kepada kes yang serius.

“Kami tidak sabar-sabar untuk melanjutkan perlindungan vaksin kepada populasi lebih muda ini,” kata CEO Pfizer Albert Bourla, menambah ‘sejak Julai, kes pediatrik COVID-19 telah meningkat kira-kira 240 peratus di AS.”

Budak dalam kumpulan percubaan umur 5-11 tahun menerima dua dos dengan setiap dos 10 mikrogram dalam percubaan itu, berbanding dengan 30 mikrogram untuk kumpulan umur lebih tua, kata syarikat. Suntikan diberikan selang 21 hari. – AFP

Seorang pekerja kesihatan memegang bebuli vaksin koronavirus Pfizer-BioNTech di pusat vaksinasi Sekolah Tinggi Atid al-Najah di Bandar Taibeh, Israel. Pfizer berkata vaksinnya selamat untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun. – AFP