Vaksin Pfizer untuk dos penggalak

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV – Sebanyak 80,000 vaksin Pfizer akan diberikan kepada golongan kanak-kanak yang juga akan menerima dua dos vaksin.

Manakala itu, selebihnya akan digunakan sebagai dos penggalak kepada mereka yang menerima vaksin lain selain daripada Moderna.

Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab persoalan mengenai baki vaksin Pfizer yang diberikan kepada kanak-kanak, pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menjelaskan, pemberian dos penggalak sudah pun bermula untuk petugas barisan hadapan selain anggota beruniform.

Pemberian vaksin dos penggalak akan diberikan kepada orang dewasa yang akan dibuat secara berperingkat terutama sekali bagi mereka yang mempunyai penyakit tidak berjangkit (NCD) dan sebagainya yang akan diumumkan kemudian.

Mengenai pil mencegah COVID daripada Pfizer, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa pihak Kementerian Kesihatan telah membuat perundingan dengan pihak Pfizer pada minggu lalu di mana untuk mendapatkannya dan pihak Pfizer sudah mengongsikan dapatan daripada kajian mereka dan ia sangat memberangsangkan.