Vaksin: Rusia terima tempahan dari 20 negara

MOSCOW, 12 OGOS – Vaksin pertama di dunia yang didaftarkan untuk merawat COVID-19 serta dibangunkan oleh Rusia diberi nama Sputnik V, menurut laman web rasmi vaksin  kelmarin.

Rusia sudah menerima permintaan daripada 20 negara untuk pengeluaran 1 bilion dos vaksin COVID-19, kata ketua Dana Pelaburan Langsung Rusia Kirill Dmitriev.

“Banyak negara luar berminat terhadap vaksin Rusia yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya.

“Kami telah menerima permintaan awal untuk pembelian lebih 1 bilion dos vaksin dari 20 negara. Kami bersedia memastikan pengeluaran lebih 500 juta dos vaksin bersama dengan rakan asing kami di lima negara, dan merancang untuk meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran,” katanya.

Menurut Dmitriev, setakat hari ini, beberapa negara Amerika Latin, Timur Tengah dan Asia menyuarakan minat untuk membeli vaksin Rusia, lapor Agensi Berita Rusia TASS.

Beberapa kontrak juga telah dimuktamadkan.

Beliau berkata RDIF bersetuju untuk mengadakan ujian klinikal tahap ketiga vaksin COVID-19 di luar negara dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan negara-negara lain.

Presiden Vladimir Putin pada hari yang sama dilaporkan berkata Rusia negara pertama di dunia yang mendaftarkan vaksin COVID-19.

Ia berikutan kejayaan ujian klinikal yang dibuat pada Jun-Julai oleh Institut Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya, Kementerian Kesihatan Rusia. – Bernama

Vaksin baharu dipamerkan di Pusat Epidemiologi dan Mikrobiologi Nasional Nikolai Gamaleya di Moscow, Rusia. Presiden Rusia Vladimir Putin mengumumkan bahawa negaranya adalah yang pertama yang meluluskan vaksin COVID-19. – AP