Vaksin: Sabah harap capai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini

KOTA KINABALU, 21 JUN – Sabah berharap dapat mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk menerima vaksin COVID-19 menjelang akhir tahun ini bagi mengekang penularan pandemik tersebut di negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pelbagai usaha dan strategi dilaksana bagi meningkatkan jumlah pemberian vaksin COVID-19 di negeri itu untuk memastikan 2.9 juta penduduk Sabah menerima vaksin berkenaan.

“Saya juga mengarahkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di seluruh negeri supaya menggerakkan proses pendaftaran secara agresif di semua daerah bagi mempercepatkan program vaksinasi.

“Setakat ini seramai 326,556 orang termasuk anggota tentera telah menerima dos pertama dalam fasa pertama dan kedua,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Sifar Pandemik COVID-19 yang dilancarkan secara dalam talian di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini. – Bernama