Vaksin Sputnik mungkin tidak diluluskan di EU

BRUSSELS, 25 JUN – Vaksin Sputnik V keluaran Rusia mungkin tidak diluluskan oleh Kesatuan Eropah (EU), kata Perdana Menteri Itali, Mario Draghi hari ini, ketika beliau juga meragui mengenai suntikan vaksin Sinovac dari China.

“Sputnik masih belum mendapatkan dan mungkin tidak akan menerima kelulusan Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA),” kata Draghi di Brussels.

Sementara itu, vaksin China, yang tidak pernah memohon kelulusan EMA telah menunjukkan kekurangan, berdasarkan pengalaman di Chile,” tambah beliau.

Chile telah bergantung pada vaksin Sinovac untuk kempen imunisasinya, dan kini menimbang menambah dos ketiga untuk merangsang perlindungan ke atas varian baharu.

Dalam komen beliau, Draghi berkata timbulnya keperluan untuk ‘EMA diperkukuh dan diperbaharui’ untuk mengelak berulangnya ‘kekeliruan’ mengenai vaksin.

Beliau merujuk kepada ‘percanggahan pengumuman’ berhubung keselamatan vaksin COVID-19 di antara EMA dan badan perubatan nasional.

Draghi berkata demikian pada akhir sidang kemuncak Kesatuan Eropah yang berlangsung selama dua hari, di mana beliau berkata pemimpin telah berbincang mengenai keadaan koronavirus di EU.

“Pandemik belum berakhir, kami belum pulih daripadanya,” kata pemimpin Itali itu, merujuk kepada penularan varian Delta yang lebih mudah berjangkit di Britain. – AFP