Vaksin UK tiba di Kutub Selatan

LONDON, 7 OKT – Penghantaran vaksin COVID-19 telah tiba di Antartika untuk menyuntik para penyelidik Britain yang ditempatkan di kawasan kutub, kata kementerian luar negeri United Kingdom (UK).

Penghantaran telah dibuat ke Stesen Penyelidikan Rothera Survei Antartika Britain, menjadikan stesen itu sebagai destinasi terpencil di wilayah luar negara Britain untuk dibekalkan dengan vaksin.

Vaksin AstraZeneca telah diterbangkan dari pangkalan tentera udara Diraja di Britain melalui Senegal dan kepulauan Falklands sebelum ia diberikan kepada seramai 23 kakitangan di kemudahan tersebut di wilayah Antartika Britain.

Ketua Eksekutif Crown Agents, Fergus Drake mengatakan organisasi itu telah menghantar vaksin ke ‘hujung bumi’, termasuk kepulauan Pitcairn di Pasifik dan Tristan da Cunha di Atlantik selatan.

Sepanjang perjalanan ke hujung selatan bumi ini, vaksin dihantar pada suhu terkawal untuk menjaga dos diperlukan sentiasa berada dalam suhu dua hingga lapan darjah Celsius.

Seluruh perjalanan harus dirancang dengan hati-hati dan dilaksanakan untuk memastikan perjalanan selesai dalam waktu kurang daripada 92 jam bagi mengelakkan kerosakan vaksin tersebut.

Pengawal selia Britain meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca pada bulan Disember tahun lalu dan kerajaan tersebut mula melancarkan program vaksinasi besar-besaran.

Semenjak itu, sebanyak 82.5 peratus orang ramai berusia 16 tahun ke atas telah menerima dua suntikan vaksin, menurut statistik kerajaan tersebut. – AFP

Vaksin AstraZeneca COVID-19 dihantar ke Stesen Penyelidikan Survei Rothera Antartika Britain pada 6 Oktober. – AFP