Vaksinasi AstraZeneca disambung

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Vaksin COVID-19 AstraZeneca mula digunakan semula hari ini selepas pemberhentian sementara pada 6 April lalu berikutan laporan mengenai kes-kes yang berkaitan dengan pembekuan darah selepas menerima vaksin tersebut.

Berdasarkan data yang sedia ada, dengan mengambil kira keberkesanan vaksin ini dalam mencegah jangkitan COVID-19 terutama kepada mereka yang berisiko seperti warga emas dan memandangkan kejadian-kejadian darah beku atau platelet rendah yang dilaporkan adalah sangat jarang berlaku, Jawatankuasa Teknikal bagi Vaksin COVID-19 berpendapat pemberian vaksin COVID-19 AstraZeneca boleh dimulakan semula di Negara Brunei Darussalam dengan syarat-syarat tertentu.

“Alhamdulillah, di Negara Brunei Darussalam, berdasarkan daripada 2,323 individu yang telah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca, tidak ada sebarang kejadian seperti ini telah dikenal pasti.”

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Jelasnya, keselamatan vaksin adalah sangat diutamakan dan beberapa langkah akan sentiasa dilakukan untuk meminimumkan risiko berkaitan dengan penggunaan vaksin seperti kesan sampingan serta memantau perkembangan terkini vaksin berkenaan.

Pada mesyuarat yang berlangsung baru-baru ini, Jawatankuasa Teknikal Vaksin COVID-19 telah mengkaji maklumat terkini dari European Medicines Agency (EMA), dan Medicines and Healthcare products Regulatory Agency, (MHRA), United Kingdom, serta maklumat daripada negara-negara lain mengenai vaksin COVID-19 Oxford-AstraZeneca.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika menerangkan mengenai penggunaan vaksin AstraZeneca semasa sidang media tersebut. – Gambar oleh Sim Y. H.

Sementara itu, satu mesyuarat Scientific Exchange Meeting telah diadakan pada 12 April 2021 di kalangan pakar-pakar dari rantau Asia-Pasifik (termasuk Negara Brunei Darussalam) dan wakil-wakil dari AstraZeneca yang mana maklumat daripada mesyuarat tersebut telah membantu dalam penelitian berkenaan.

Jawatankuasa Teknikal Vaksin COVID-19 mengambil maklum bahawa dalam pelaksanaan kempen-kempen vaksinasi yang meluas, kemungkinan kejadian buruk (potential adverse events) boleh berlaku berikutan suntikan vaksin.

“Walau bagaimanapun, ini tidak semestinya bermakna bahawa sebarang kejadian adalah disebabkan oleh vaksinasi tersebut, akan tetapi ianya perlu disiasat bagi memastikan segala isu berkenaan dengan keselamatan kesihatan ditangani dengan segera.

“Vaksinasi, seperti semua ubat-ubatan boleh memberi kesan sampingan. Pemberian vaksin adalah berdasarkan pertimbangan penilaian risiko dan faedah iaitu ‘risk versus benefit analysis’,” tambahnya.

Berdasarkan maklumat terkini mengenai dengan kejadian kes-kes pembekuan darah dengan jumlah platelet rendah iaitu Thrombotic Thrombocytopenia berikutan suntikan vaksin COVID-19, pemberian vaksin COVID-19 AstraZeneca berkemungkinan mempunyai hubung kait dengan kejadian tersebut.

Namun demikian, jelas beliau, masalah tersebut adalah sangat jarang terjadi yang mana bilangan kejadiannya adalah rendah iaitu kadar risiko lebih kurang empat kes bagi setiap satu juta dos yang diberikan.

Maklumat daripada negara-negara lain yang telah melaporkan kejadian pembekuan darah adalah sangat rendah namun risiko ianya terjadi adalah lebih tinggi di kalangan kumpulan usia yang lebih muda. Manakala, pada masa ini, berdasarkan analisis daripada kadar asas di kalangan penduduk United Kingdom dan Eropah, ianya tidak menunjukkan risiko yang lebih tinggi di kalangan kumpulan usia yang lebih tua.

“Pengesanan awal simptom adalah penting yang mana individu-individu yang telah menerima vaksin COVID-19 AstraZeneca adalah dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera jika mengalami sebarang simptom seperti sesak nafas, sakit dada, bengkak kaki, sakit perut yang berterusan, sakit kepala yang teruk atau berterusan, penglihatan kabur setelah vaksinasi, atau mengalami lebam kulit (petechia) di bahagian lain badan selain tempat vaksinasi,” katanya.

Jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, memandangkan peningkatan risiko yang diperhatikan dalam kalangan individu-individu yang berusia lebih muda, dan risiko yang rendah serta nisbah faedah yang tinggi bagi mereka yang berumur 60 tahun ke atas, vaksin AstraZeneca akan diberikan kepada orang dewasa berumur 60 tahun ke atas.

Manakala bagi orang dewasa yang berusia di bawah 60 tahun dan yang belum menerima dos pertama vaksin AstraZeneca, mereka tidak akan ditawarkan vaksin COVID-19 AstraZeneca secara rutin. Bergantung kepada ketersediaan vaksin, orang dewasa yang berusia di bawah 60 tahun akan diberikan vaksin lain seperti vaksin Sinopharm.

Tambahnya vaksin Astra-Zeneca boleh digunakan dalam kalangan orang dewasa yang berusia di bawah 60 tahun jika manfaat penggunaannya melebihi risiko bagi individu tersebut dan individu tersebut membuat keputusan ‘informed consent’ iaitu berdasarkan pemahaman tentang risiko dan faedah, serta secara peribadi meminta vaksin AstraZeneca.