Vaksinasi bagi wanita hamil bermula 16 Ogos

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Program suntikan vaksin COVID-19 khusus bagi wanita-wanita mengandung dan ibu-ibu yang menyusukan anak damit akan bermula pada 16 Ogos di ruang berasingan Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, wanita-wanita mengandung termasuk dalam golongan berisiko tinggi berbanding wanita yang tidak hamil dan mereka mempunyai risiko lebih tinggi melahirkan anak damit pramatang jika dijangkiti jangkitan COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan wanita-wanita mengandung untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 Moderna memandangkan manfaat vaksin berkenaan jauh lebih besar daripada risikonya.

Vaksin COVID-19 Moderna adalah vaksin pilihan untuk wanita hamil yang layak tanpa mengira usia, kerana pengalaman penggunaannya yang lebih luas bagi wanita yang mengandung.

Dapatan awal daripada kajian berterusan tidak mendapati sebarang kejadian advers terhadap wanita-wanita mengandung yang telah divaksinasi atau janin mereka.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Brunei Darussalam kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

Memandangkan adanya peningkatan jangkitan COVID-19 di dalam negara pada masa ini, Kementerian Kesihatan menyeru wanita-wanita mengandung dan ibu-ibu yang menyusukan anak damit untuk mendapatkan vaksinasi bagi melindungi diri mereka dan anak mereka.

Sementara itu, wanita-wanita mengandung dan ibu-ibu yang menyusukan anak damit (termasuk mereka yang di dalam klinik pakar obstetrik dan ginekologi) yang ingin mendapatkan vaksinasi boleh menghubungi klinik kesihatan ibu-ibu dan anak (MCH) atau menghantar e-mel ke pusat kesihatan yang tertentu.

Tarikh perjanjian akan diberikan melalui pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi BruHealth akan dikemas kini.

Wanita-wanita mengandung dan ibu-ibu yang menyusukan anak damit perlu memastikan nombor mereka dikemas kini supaya dapat menerima SMS tersebut.

Bagi Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong, program vaksinasi tersebut akan dilaksanakan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.

Manakala itu, bagi Daerah Belait dan Tutong, ia akan dilaksanakan di Hospital Suri Seri Begawan dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.