Vaksinasi bergerak di Klinik Kesihatan Kg Bolkiah esok

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak akan diteruskan lagi pada 30 November ini yang bakal diadakan di Klinik Kesihatan Kampung Bolkiah.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah mengumumkannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, perkhidmatan tersebut akan diadakan dari pukul 9:30 pagi hingga 2:30 petang khusus bagi penduduk Kampung Bolkiah A dan B serta kawasan persekitaran di Mukim

Sungai Kebun yang telah dijadualkan untuk menerima suntikan vaksin dos kedua.

“Klinik vaksinasi juga dibukakan untuk penduduk kampung yang berumur 18 tahun ke atas dan belum lagi menerima suntikan vaksin COVID-19,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Penduduk setempat yang ingin mendapatkan suntikan COVID-19 bolehlah datang terus secara walk-in dengan membawa kad pengenalan atau pasport; kad (atau nombor) BruHIMS, jika ada; dan Kad Vaksinasi COVID-19 bagi mereka yang menerima suntikan dos kedua.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan kenderaan untuk dibawa ke klinik, mereka bolehlah memaklumkan kepada ketua kampung,” jelas beliau lagi.

Manakala, bagi mereka yang tidak mampu untuk hadir sendiri ke pusat kesihatan berkenaan disebabkan masalah kesihatan atau kesukaran bergerak, Yang Berhormat Dato menyarankan mereka untuk mendaftar atau didaftarkan melalui ketua kampung bagi urusan vaksinasi di rumah masing-masing.