Vaksinasi bergerak di Pusat Kesihatan Muara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak telah dilanjutkan lagi pada hari ini di Pusat Kesihatan Muara di mana ia akan berlangsung selama dua hari.

Sesi vaksinasi pada hari ini berjalan sehingga 12 tengah hari manakala pada 31 Oktober pula akan bermula dari 9 pagi sehingga 2:30 petang.

Pegawai Perubatan Kanan Gred 1, Dr Hajah Maimunah binti Haji Mokim yang mengetuai pusat vaksinasi bergerak di seluruh negara, ketika ditemui antara lain menjelaskan perkhidmatan berkenaan adalah khusus bagi penduduk yang tinggal di kawasan Mukim Serasa, Mukim Mentiri dan sekitarnya.

Jelasnya lagi, perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang kelima tersebut adalah bagi memberi kemudahan terutamanya mereka yang belum lagi mendapatkan suntikan vaksinasi dos pertama yang mana vaksin Moderna disediakan semasa perkhidmatan dua hari itu.

Pada masa yang sama, Dr Hajah Maimunah turut tidak ketinggalan menyeru orang ramai yang belum mendapatkan suntikan vaksin agar segera mendapatkannya dalam usaha bersama membantu negara beralih ke fasa seterusnya.

Bagi mereka yang tidak mempunyai BruHealth atau BruHims, mereka juga boleh mendapatkan suntikan vaksin dengan dibantu dalam urusan pendaftaran mereka sehinggalah kesemua proses vaksinasi dijalankan.

Walau bagaimanapun, sebagai langkah pengawalan dan berjaga-jaga bagi mereka yang tidak mempunyai BruHealth atau BruHims, saringan menggunakan kit ujian pantas antigen (ART) akan dilakukan terlebih dahulu sejurus mereka tiba di pusat vaksinasi berkenaan.

Salah seorang penduduk menerima suntikan vaksin pada Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak di Pusat Kesihatan Muara, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani