Vaksinasi bergerak di Sg Liang hingga hari ini

Oleh Salawati Haji Yahya & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Lebih 700 orang telah tampil mendapatkan dos pertama vaksin COVID-19 sejak Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak dilaksanakan pada Oktober lepas.

Sementara itu, hari pertama Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak diadakan di Sungai Liang hari ini menyaksikan 70 orang tampil mendapatkan dos pertama, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak yang dijalankan di Pusat Kesihatan Kampung Sungai Liang itu akan berjalan selama dua hari dan tinjauan media semasa pelaksanaannya menyaksikan kebanyakan yang tampil mendapatkan vaksinasi terdiri daripada penduduk kawasan sekitar.

Dr Haji Airwan bin Dato Paduka Haji Mohd Kasim yang mengetuai program vaksinasi di pusat itu, ketika ditemui menjelaskan bahawa inisiatif dua hari itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai usaha vaksinasi kebangsaan yang sedang berjalan.

“Sementara kami menumpukan (untuk memvaksin) penduduk di kawasan sekitar Kampung Sungai Liang, pusat vaksinasi ini juga dibukakan kepada penduduk kampung dan mukim berdekatan yang dapat hadir,” ujarnya.

Dr Haji Airwan ketika ditemu bual pada program vaksinasi bergerak di Pusat Kesihatan Kampung Sungai Liang.
Penduduk setempat membuat saringan sebelum mendapatkan vaksin COVID-19 semasa perkhidmatan vaksinasi bergerak di Pusat Kesihatan Kampung Sungai Liang, kelmarin.

Beliau menambah bahawa walaupun program vaksinasi akan dijalankan dalam dua hari ini, pusat kesihatan berkenaan juga beroperasi sebagai pusat vaksinasi pada hari biasa.

“Dengan program vaksinasi bergerak, kita bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menerima vaksinasi, malah dapat meraih lebih banyak sokongan dan sumber-sumber demi memenuhi permintaan berterusan bagi mereka yang menerima vaksin.”

Oleh itu, beliau berkata bahawa biasanya pusat vaksinasi berkenaan beroperasi secara perjanjian untuk memenuhi jumlah pesakit yang diperlukan bagi memastikan vaksin tidak disia-siakan.

Biasanya, sekurang-kurangnya 10 orang diperlukan untuk memastikan vaksin digunakan secara cekap.

Tetapi, khusus untuk program vaksinasi berkenaan di samping sokongan tambahan yang diberikan dalam tempoh dua hari ini, beliau menjangkakan bahawa ia akan dapat menampung sekurang-kurangnya 300 pesakit sehari, had sasaran mereka bagi program yang diadakan di kawasan itu.

Ditanya mengenai dos kedua dan kemungkinan suntikan penggalak, beliau berkata bahawa suntikan dos kedua dijadualkan sejurus dos pertama diberikan dan akan dijalankan di pusat kesihatan yang sama.

“Mereka telah mendapat untuk menerima vaksinasi mereka di pusat kesihatan ini, jadinya mereka juga akan menerima dos kedua di sini, dan diharap bertepatan dengan program vaksinasi bergerak seterusnya,” ujar beliau.

Mengulas mengenai vaksinasi ke rumah-rumah, Dr Haji Airwan berkata, sementara tiada pesakit terlantar didaftarkan di kawasan itu, bas-bas telah disediakan untuk sekurang-kurangnya tiga orang penerima vaksin yang tidak mempunyai pengangkutan, bagi memastikan mereka dapat menghadiri klinik vaksinasi bergerak itu.

Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak itu akan diteruskan lagi esok dari 9 pagi hingga 2:30 petang. Selain itu, perkhidmatan serupa juga akan dikendalikan di Pusat Kesihatan Pengkalan Batu pada 5 dan 7 November depan.