Vaksinasi bergerak ke Kg Pandan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak akan diteruskan lagi esok (1 Disember) di kawasan Kampung Pandan, Daerah Belait.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media hari ini berkata perkhidmatan vaksinasi bergerak dari rumah ke rumah itu adalah bagi penduduk yang tidak dapat hadir sendiri ke pusat vaksinasi disebabkan masalah kesihatan.

“Penduduk atau ahli keluarga penduduk tersebut akan dimaklumkan beberapa hari sebelum tarikh vaksinasi,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penduduk setempat yang ingin mendapatkan vaksin COVID-19 dan tidak dapat untuk hadir ke pusat-pusat kesihatan disebabkan masalah kesihatan, mereka boleh mendaftar atau didaftarkan melalui ketua kampung bagi urusan vaksinasi di rumah masing-masing.