Vaksinasi bergerak ke rumah minggu ini

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Perkhidmatan Klinik Vaksinasi COVID-19 Bergerak akan diteruskan lagi dengan dijalankan secara rumah ke rumah sahaja pada minggu ini.

Demikian telah dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, bertempat di Dewan Al-‘Afiah di Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato menjelaskan perkhidmatan mula diadakan di Kampung Sungai Teraban, Daerah Belait pada hari ini.

Perkhidmatan akan diteruskan ke Daerah Temburong selama dua hari iaitu pada 9 hingga 10 November 2021. Setelah itu, perkhidmatan tersebut akan bergerak ke Kampung Pandan, Daerah Belait; Kampung Pengkalan Batu dan Kampung Masin, Daerah Brunei dan Muara pada 11 November 2021 dan Kampung Mumong, Daerah Belait pada 13 November 2021.

“Perkhidmatan vaksinasi ke rumah-rumah tersebut akan dijalankan mengikut senarai yang disediakan oleh ketua kampung,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham semasa menghadiri sidang media harian di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani