Vaksinasi budak tunggu hasil penyelidikan Pfizer

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Dalam pemberian vaksin Pfizer kepada kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun, Bahagian Teknikal Kementerian Kesihatan perlu melihat lebih terperinci hasil maklumat penyelidikan yang telah dibuat oleh Pentadbiran Ubat-ubatan dan Makanan (FDA).

Ini berikutan dengan pemberian vaksin Pfizer kepada lebih 2,000 orang kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, baru-baru ini, yang telah diluluskan oleh FDA.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menjelaskan perkara itu semasa memberi respons kepada pertanyaan mengenai pemberian vaksin Pfizer kepada golongan kanak-kanak berkenaan dengan mengurangkan dos khas.

Yang Berhormat Dato berkata, dengan pemberian vaksin berkenaan akan dapat mengurangkan risiko mereka kepada virus (COVID-19).

“Apa yang kita tahu, pemberian vaksin ini telah diberikan kepada 2,000 kanak-kanak tetapi kita perlu mengetahui dengan lebih terperinci dan melihat golongan kanak-kanak yang telah diberikan vaksin ini, dari segi kesihatan mereka dan sebagainya.

“Setakat ini, data-data tersebut belum lagi dikongsikan dan kita menunggu pihak Pfizer untuk mengongsikan data-data yang terperinci kepada Kementerian Kesihatan,” jelasnya lagi semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau berkata lagi, sebaik saja data-data tersebut sudah dikongsikan, perkara berkenaan akan diteliti dan ditunduki untuk melihat kesesuaiannya dan bagaimana risikonya serta kesan sampingan yang ada kepada lebih 2,000 kanak-kanak yang menjalani percubaan vaksin berkenaan.

“Bila ada penilaian dan ketentuan dari Bahagian Teknikal, ia akan dimaklumkan kepada orang ramai,” tambahnya.