Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Vaksinasi di pusat kesihatan lancar

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Syahmi Hassan & Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Berikutan penutupan rasmi Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup pada 1 Julai lalu, Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan telah memulakan operasinya di tiga buah pusat kesihatan di Daerah Brunei dan Muara.

    Pusat kesihatan itu ialah Pusat Kesihatan Berakas di RPN Lambak Kanan, Pusat Kesihatan Pengkalan Batu dan Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB), Kampung Sungai Asam.

    Memandangkan operasinya telah bermula di Pusat Kesihatan Berakas pada 2 Julai lalu, pihak Media Permata mengambil kesempatan untuk menemu bual dua ketua pasukan bagi Program Vaksinasi Pusat Kesihatan Berakas, Awang Muhammad Zariful Hanafi bin Haji Abdul Rahim dan Dayang Siti Azimah @ Sofiayana binti Haji Mohd Yahya, kelmarin.

    Mereka mengongsikan sejak permulaan program di pusat kesihatan itu, terdapat lebih 800 orang yang mengambil vaksin COVID sama ada dos kedua, ketiga atau keempat, termasuk kanak-kanak.

    “Jumlah orang yang datang begitu ramai dan saya amat terkejut dengan sambutan yang tidak dijangkakan itu,” kata Awang Muhammad Zariful Hanafi sambil berharap program vaksinasi akan mencapai kadar sekitar 70 peratus sekali lagi bagi membolehkan negara dilindungi secara menyeluruh.

    Awang Muhammad Zariful Hanafi dan Dayang Siti Azimah @ Sofiayana semasa ditemui Media Permata di Pusat Kesihatan Berakas.
    Orang awam semasa menerima dos penggalak di Pusat Kesihatan Berakas.

    Menurut mereka, operasi vaksinasi di pusat kesihatan berjalan lancar selepas beberapa gangguan kecil pada hari pertama disebabkan suasananya tidak sama seperti di stadium tertutup.

    “Gangguan tersebut perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Ia satu cabaran dan strategi dalam mengendali dan mengatasi perkara-perkara seperti ini,” tambah ketua-ketua pasukan itu.

    Dengan pasukan yang cekap di pusat kesihatan itu, program vaksinasi tidak menjejaskan sebarang operasi lain di sana.

    Selain itu, tempat duduk berlabel juga telah disediakan untuk mengasingkan mereka yang datang untuk bervaksin dan perjumpaan lain.

    Kapasiti harian di Pusat Kesihatan Berakas untuk vaksinasi adalah kira-kira 660 dan menerima kaedah jumpa terus dan temu janji, bagaimanapun, pihak kesihatan menggalakkan orang ramai membuat temu janji melalui aplikasi BruHealth sebelum datang mendapatkan vaksin kerana slot jumpa terus adalah terhad.

    “Kami mengalu-alukan warga emas, orang berkeperluan khas dan ibu mengandung yang diberi keutamaan untuk jumpa terus, dan bagi mereka yang tidak mempunyai sejarah penyakit tidak berjangkit, mereka dialu-alukan untuk mendapatkan booster kedua dengan syarat selang lima bulan selepas dos penggalak pertama diambil.”

    Pihak media juga berkesempatan menemu bual dua individu yang berada di pusat kesihatan untuk mendapatkan dos penggalak kedua vaksin COVID pada hari tersebut.

    Salah seorang daripadanya ialah Awang Syairazi Hazazi bin Haji Mat Sarudin, 19 tahun, yang mengatakan peningkatan bi-langan kes telah mendorongnya untuk mengambil dos penggalak kedua.

    “Ia adalah langkah berjaga-jaga yang perlu dititikberatkan. Saya juga mempunyai tekanan darah tinggi, menyebabkan saya juga berisiko tinggi,” kata Awang Syairazi yang datang ke pusat tersebut bersama kedua ibu bapanya yang juga mengambil suntikan dos penggalak kedua.

    Beliau berpendapat setiap individu harus mengambil vaksin sebagai langkah berjaga-jaga kerana ia bukan untuk kebaikan diri sendiri, tetapi juga seluruh masyarakat.

    Manakala Ampuan Haji Mohd Yaasin bin Ampuan Salleh, berusia lebih 80 tahun, berkata beliau ingin mengambil dos penggalak kedua untuk menjaga kesihatannya kerana beliau tergolong dalam kategori berisiko tinggi disebabkan faktor usia.

    “Menjaga kesihatan adalah sangat penting, dan perkara baik dan digalakkan adalah membantu mencegah penularan COVID,” kata Ampuan Haji Mohd Yaasin, sambil menambah ahli keluarganya yang lain juga telah mengambil vaksin mereka.

    “Memang terdapat banyak pendapat sama ada wajar untuk mengambil vaksin atau tidak, akan tetapi setiap orang yang layak menerimanya perlu berbuat demikian bukan sahaja untuk melindungi diri mereka sendiri, tetapi juga keluarga dan orang-orang di sekeliling mereka,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...