Vaksinasi di Stadium Tertutup lebih terkawal

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Keadaan Pusat Vaksinasi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah kelihatan jauh lebih terkawal pada hari ini berbanding ketika program vaksinasi dibukakan secara jumpa terus (walk in) pada minggu lepas khusus untuk mereka yang tidak mempunyai aplikasi BruHealth.

Ini berikutan penelitian semula perkhidmatan tersebut dan perubahan-perubahan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan, seperti yang dinyatakan dalam sidang media pada 29 September lalu.

Orang ramai yang menghadiri program vaksinasi pada hari ini hanyalah daripada kalangan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang memegang kad pintar berwarna kuning atau ungu sahaja dan yang menghadapi masalah untuk menempah slot vaksinasi dos pertama melalui aplikasi BruHealth.

Berbeza dengan minggu lepas yang menggunakan sistem walk-in, kali ini, perkhidmatan tersebut hanya diberikan secara tempahan sahaja yang mana tempahan dilakukan melalui panggilan telefon, pesanan ringkas (SMS) atau aplikasi WhatsApp ke nombor-nombor yang disediakan. Sebanyak 2,000 slot telah disediakan pada hari ini, yang dipecahkan kepada enam slot waktu, dan program tersebut telah bermula dari seawal 8 pagi hingga 8 malam.

Mereka yang menjalani pemvaksinan juga diperlukan untuk menjalani ujian saringan di dewan serba guna (MPH) yang terletak bersebelahan dengan stadium tertutup berkenaan.

Vaksinasi bagi para pekerja syarikat-syarikat tempatan sama ada warga tempatan atau warga asing pula akan diadakan pada setiap Ahad, di mana penjadualan bagi vaksinasi pekerja-pekerja tersebut akan dibuat melalui pihak pengurusan syarikat masing-masing.

Dengan perubahan-perubahan tersebut, operasi pada hari ini berjalan dengan lancar dan dapat dikawal dengan rapi dengan kerjasama yang diberikan oleh orang ramai yang hadir serta kerja keras daripada kalangan barisan hadapan yang bertugas di pusat vaksinasi tersebut.

Orang ramai beratur untuk menunggu giliran mendapatkan vaksin COVID-19 di Pusat Vaksinasi Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin. – Gambar oleh Bahiyah Bakir
Antara mereka yang menghadiri program vaksinasi di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani